PENYOKONG Selangor FC baru-baru ini menerima berita mengecewakan apabila kapten pasukan, Brendan Gan kini sudah tidak lagi bersama pasukan itu.
Pemain yang sudah berkhidmat buat kelab Lembah Klang berkenaan sejak empat musim lalu itu memberikan sumbangan cukup penting buat pasukan.
Selain memiliki nilai kepimpinan cukup terserlah di atas padang, gaya permainannya juga tidak kurang hebatnya kerana dia memainkan peranan penting dalam membantu skuad Gergasi Merah ke kedudukan kedua Liga Super 2023.
Kini, dengan jeneral tengah berkenaan sudah berusia 36 tahun, orang ramai mula berteka-teki mengenai destinasi yang bakal ditujunya pada jendela perpindahan kali ini.
Berdasarkan khabar angin, Brendan Gan dilaporkan bakal menyertai Sri Pahang FC yang sememangnya memerlukan seorang pemain berkualiti di bahagian tengah.
BACA LAGI: Tak mungkir janji dengan kelab, Brendan ada sejarah pegang prinsip tolak tawaran JDT
Brendan Gan pastinya menjadi buruan kelab-kelab Liga Super ketika ini.
Namun, dengan skuad Tok Gajah masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, pemain berdarah kacukan Australia tersebut masih berpeluang mencari pasukan baharu.
Antara kelab yang dilihat berminat untuk mendapatkan khidmatnya ialah Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan penyokong pasukan itu mengharapkan khidmatnya pada musim akan datang.
"Adakah Brendan Gan akan menyarung jersi keramat Hijau Kuning pada musim ini? Berusia 36 tahun dan merupakan pemain naturalisasi Malaysia yang berdarah kacukan Malaysia-Australia dan memakai lilitan kapten Selangor?
"Dia bermain di posisi tengah dan juga pemain tengah menyerang untuk mengawal jentera tengah pasukan. Sama-sama kita nantikan," kata Syahrul Syah di laman Facebook KDA FC Fans.
Tetapi, meskipun kontraknya sudah tidak disambung, majoriti penyokong Hijau Kuning yang lain seakan-akan menolak peluang untuk mendapatkannya.
Antara punca utama yang diberikan orang ramai di ruangan komen adalah kerana mereka berpendapat penyelesaian isu gaji lebih penting buat pihak pengurusan ketika ini.
BACA LAGI: Kim Swee nafi Brendan Gan ke Sabah, sahkan The Rhinos tak tambah pemain baharu
Skuad Sang Kenari masih terkesan dengan isu tunggakan gaji ketika ini. — Facebook/KDA FC
"Bagi aku, boleh sahaja jika mahu dapatkannya, tetapi perlu lihat bajet terlebih dahulu. Kalau bajet kurang, lebih baik gunakan pemain muda dan mula semula dari bawah," kata Khairul Ashraf.
"Kita selesaikan isu gaji terlebih dahulu, barulah boleh fikir untuk dapatkan pemain baharu," kata Shaiful Hafizi.
"Brendan Gan ini merupakan pemain gred A, pasti banyak pasukan buat tawaran. Dalam keadaan kewangan KDA FC ketika ini, memang tidak lah dia mahu datang ke sini," ujar Wan Mijie Wan Mohd.
Khabar angin mengatakan skuad Sang Kenari mahu mendapatkan pemain tersebut bukanlah sesuatu yang baharu kerana kedua-dua mereka sudah dikaitkan sebelum ini.
Bagaimanapun, dengan kehadirannya amat penting buat Selangor FC, Brendan Gan kemudiannya dikekalkan sehingga penghujung musim lalu.
Selain dikatakan bakal menyertai Sri Pahang FC, pemain berkenaan juga dikatakan terbuka untuk pulang ke Australia dan beraksi untuk beberapa tahun sebelum menamatkan kariernya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram