Lepas lama menyepi, TRW buat 'comeback' adakan acara tahunan


  • Podium
  • Rabu, 07 Feb 2024

Pihak pengurusan serta pemegang saham pasukan menghadiri mesyuarat agung tahunan kelab Pantai Timur itu. — Facebook/TRW Kelantan FC

MASA depan Kelantan FC dalam arena bola sepak ketika ini sudah semakin malap apabila laporan mengatakan terdapat kemungkinan kelab tersebut tidak akan bersaing musim depan.

Selepas dihalang daripada menyertai Liga Super, hasrat skuad The Red Warriors (TRW) untuk menyertai Liga M3 juga seakan-akan hampir terkubur.

Hal tersebut berlaku berikutan kegagalan pihak pengurusan untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji yang dihadapi pasukan Pantai Timur itu sejak beberapa bulan lalu.

Situasi berkenaan seakan-akan menyebabkan Kelantan FC semakin lenyap dalam dunia bola sepak tanah air, lebih-lebih lagi apabila tiada usaha ditampilkan untuk menyelamatkan pasukan tersebut.

Namun, cemuhan itu dilihat tidak menjejaskan semangat pasukan untuk kembali bangkit kerana baru-baru ini, mereka tampil mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) di Hotel Zamburger Wira, Kuala Lumpur pada Selasa.

BACA LAGI: [VIDEO] Pernah tembusi gawang JDT, Terengganu dikhabar selamatkan nasib ubi muda TRW

425472380_983072893552969_3760979063464283572_n

Norizam (kiri) memberi penjelasan mengenai situasi semasa skuad TRW. Facebook/TRW Kelantan FC

Berdasarkan perkongsian di laman media sosial rasmi kelab, pertemuan tersebut diadakan bagi memberi ruang untuk menjawab segala persoalan mengenai hala tuju pasukan.

"Pelbagai pertanyaan pemegang saham diterangkan dengan baik oleh Ahli Lembaga Pengarah serta dibantu Auditor dan Company Secretary bagi menjelaskan kedudukan sebenar syarikat.

"Audit Report Kewangan bagi tahun 2021 dan 2022 telah dibentangkan dan semua resolusi diluluskan pemegang saham dengan keputusan hampir 100 peratus menyokong," tulisnya.

Antara yang turut hadir dalam sesi mesyuarat itu ialah pemilik kelab, Norizam Tukiman serta pemilik bersama Kelantan FC, Nik Hafiz Nik Hassan serta pemegang saham yang lain.

Sebelum ini, kelab tercorot Liga Super 2023 tersebut pernah mengadakan pertemuan bersama penyokong pada pertengahan musim lalu bagi menjelaskan situasi semasa pasukan.

BACA LAGI: CEO Kelantan mengaku proses penswastaan TRW gagal

425385542_983072970219628_5392598245131021549_n

Pemegang saham diberikan peluang mengajukan soalan kepada pihak pengurusan kelab. Facebook/TRW Kelantan FC

Bagaimanapun, usaha berkenaan boleh dikatakan tidak cukup untuk memberikan penjelasan lebih teliti mengenai isu dihadapi mereka berdasarkan jumlah kehadiran penyokong.

Jadi, dengan penganjuran AGM, orang ramai pasti mengharapkan supaya terdapat usaha buat skuad TRW kembali bangkit meskipun dihalang untuk beraksi dalam Liga Super musim depan.

"Tidak seperti sesetengah pasukan Liga Super yang mendapat geran kerajaan negeri, tahun 2023 merupakan tahun yang sukar buat TRW Kelantan FC.

"Berdiri sendiri dengan cara penswastaan sebenar bukanlah sesuatu yang mudah. Bertuah masih ada penaja membantu meringankan kos OPEX (perbelanjaan operasi) bulanan kelab.

"Selaku pengarah eksekutif, En Norizam juga mengambil kesempatan untuk menerangkan perjalanan pasukan Kelantan FC bagi tahun lepas dan telah membentangkan perancangan bagi tahun 2024," tulisnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram