Projek bina stadium baharu Selangor akhirnya bermula Selasa, proses roboh makan masa setahun


  • Podium
  • Selasa, 06 Feb 2024

Pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam akhirnya bermula dengan proses pra-perobohan mengambil tempat bermula Selasa.

SETELAH sekian lama, akhirnya detik permulaan untuk membina stadium baharu Selangor FC telah pun tiba.

Projek pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) secara rasmi telah bermula pada Selasa (6 Februari) dengan proses pra- perobohan Stadium Shah Alam (SSA) dilakukan.

Memetik laporan Selangor Kini, Perbadanan Menteri Besar (MBI) mengatakan proses pertama dilakukan dengan memasang adang (hoarding). Selain itu, persediaan lain turut dilakukan dan ia akan mengambil masa selama tiga bulan.

Ia kemudiannya akan disusuli dengan proses perobohan SSA yang menggunakan teknik tradisional yang tidak melibatkan letupan.

Tambah MBI lagi, proses merobohkan SSA akan bermula pada bulan Jun dan kerana ia bukan menggunakan teknik letupan, akan mengambil masa setahun untuk proses itu siap.

BACA LAGI: 'Belasungkawa FAP', cemerlang musim lalu seakan tak bermakna, futsal Penang akhirnya terkubur

Pengarah Lembaran Prospek Sdn Bhd Dato' Ishak Mohamed (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif  Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek (dua kanan) menunjukkan dokumen pada Majlis Menandatagani Kontrak Pembangunan Stadium Shah Alam di antara Lembaran Prospek Sdn Bhd dan MBI sambil diperhatikan oleh Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (tengah) di pejabat MBI, Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 6 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Amiruddin (baris atas, tengah) yakin proses perobohan Stadium Shah Alam menggunakan cara yang selamat. — Agensi

BACA LAGI: Bintang import JDT dalam radar Tok Gajah, cuma baik loan saja bukan beli terus

“Kaedah ini dijamin mengikut garis panduan keselamatan dan syarat ditetapkan pihak berkuasa berkaitan,” kata MBI.

Dalam masa yang sama, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amiruddin Shari mengatakan yang proses untuk merobohkan SSA akan menggunakan cara yang terkawal oleh pihak MBI dan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB).

Menurut Amiruddin, perobohan terkawal itu amat diperlukan untuk memastikan tiada pencemaran berlaku.

“MBI dan MRCB sentiasa patuh kepada kehendak pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengawal kerja perobohan yang akan mengakibatkan pencemaran udara, bunyi dan gegaran di kawasan sekeliling.

“Langkah-langkah ini akan dikongsikan kepada pihak berkaitan sepanjang perobohan,” kata Ahli Parlimen Gombak itu.

Pembinaan KSSA akan menyaksikan perubahan secara drastik kepada fasiliti sukan di kawasan Shah Alam. Ia akan menyaksikan stadium tersebut akan dibina pada kapasiti sekitar 40,000 hingga 50,000 tempat duduk.

Selain menempatkan stadium baharu untuk Gergasi Merah, terdapat juga fasiliti lain yang dibina untuk kegunaan komuniti setempat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram