Kelab tak lagi sama seperti dulu, 3 duo seirama termasuk Pawi-Mat Yat buru haluan baharu


  • Podium
  • Rabu, 07 Feb 2024

Akhyar (kiri) dan Safawi pernah menjadi duo serangan yang digeruni pemain lawan pada zaman kegemilangan mereka. — Facebook/JDT

PENGHIJRAHAN pemain ke kelab baharu adalah perkara lazim yang akan berlaku saban tahun dan para penyokong juga perlu menerima hakikat bahawa mereka akan digantikan dengan bakat baharu untuk membantu memperkuatkan pasukan.

Lebih mengecewakan penyokong apabila duo kegemaran yang sering menjadi taruhan pasukan membuat keputusan untuk meninggalkan kelab pada masa sama dan akhirnya memilih untuk membawa haluan berbeza.

Setiap pasukan mempunyai dua pemain yang sering diganding bersama atas faktor keserasian dan kehadiran gabungan duo berkenaan seakan-akan memberi magis berbeza kepada kelab untuk memenangi perlawanan.

Seperti tahun sebelumnya, jendela perpindahan kali ini turut menyaksikan duo ikonik pasukan memilih untuk angkat kaki daripada kelab secara serentak dan akhirnya meninggalkan kekosongan yang sukar dicari ganti.

Seiring dengan jendela perpindahan yang sedang berlangsung, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga duo pasukan memilih untuk angkat kaki daripada kelab selepas memberi kenangan manis buat pasukan dan penyokong;

BACA LAGI: Jendela peluang import baharu belum nampakkan banyak perubahan

1) Safawi Rasid-Akhyar Rashid

WhatsApp Image 2024-02-06 at 18.26.56 (1)

Akhyar dan Safawi dikatakan akan berhijrah ke Terengganu FC pada musim ini. — Facebook/JDT

Gandingan penyerang sayap Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid dan Akhyar Rashid mula menjadi duo digeruni pada musim 2018 dengan kedua-duanya dilabel sebagai wonderkid tanah air ketika itu.

Safawi tiba ke bumi Johor pada awal musim 2017 dari Terengganu, manakala Akhyar pula hadir menyertai Harimau Selatan pada 2018 dari Kedah selepas insiden kontroversi perpindahan melibatkan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).

Sepanjang Safawi dan Akhyar menjadi taruhan utama bahagian serangan JDT pada 2018 hingga 2020, duo sensasi itu berhasil membawa Harimau Selatan menjuarai pelbagai kejuaraan seperti Liga Super, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih.

Selepas hampir tujuh tahun bersama, kedua-duanya sepakat untuk meninggalkan JDT dan difahamkan bakal menyertai Terengganu FC (TFC) menjelang musim baharu ini bagi memperkuatkan bahagian serangan skuad Sang Penyu.

2) Rodney Calvin-Bojan Cigar

WhatsApp Image 2024-02-06 at 18.26.56

Kedah difahamkan mengalami isu tunggakan gaji sehingga menyaksikan ramai pemain berhijrah ke pasukan lain. — Facebook/KDA FC

Masalah gaji yang melanda Kedah Darul Aman (KDA) FC pada musim lepas memaksa beberapa pemain untuk meninggalkan kem Sang Kenari dan antara yang berangkat lebih awal ialah dua pertahanan tengah iaitu Rodney Calvin dan Bojan Ciger.

Rodney menjadi sebahagian keluarga Hijau Kuning sejak 2021 secara pinjaman dari Selangor dan menjadi pemain tetap pada musim 2022, sementara Bojan pula menyertai skuad Sang Kenari pada awal 2023.

Gandingan duo bek tengah itu mula terjalin ketika berada di bawah kendalian Nafuzi Zain yang memberi kepercayaan kepada mereka untuk mengemudi pertahanan Sang Kenari.

Duo bek tengah itu terbukti memberi kesan berbeza di bahagian pertahanan apabila Kedah hanya dibolosi sebanyak 29 gol berbanding musim 2022 yang menyaksikan Sang Kenari melepaskan 41 jaringan gol.

Musim 2024/2025 bagaimanapun menyaksikan Rodney pulang ke kampung halaman bersama Aidil Shahrin di Kuching City musim depan dan Bojan pula menyertai Neftchi FC Ferghana yang beraksi di Liga Super Uzbekistan.

BACA LAGI: 'Tunggulah 5 hari lagi', Bobie kongsi perancangan jendela perpindahan kedua Perak

3) Sony Norde-Habib Haroon

WhatsApp Image 2024-02-06 at 18.26.57

Habib dan Sony difahamkan bakal berhijrah ke Kedah pasa musim ini. — Facebook/Terengganu FC

Rahsia Terengganu FC (TFC) yang berhasil menghuni kedudukan keenam Liga Super dan berjuang sehingga ke peringkat kumpulan Piala AFC disumbangkan oleh dua bintang import utama Sony Norde dan Habib Haroon.

Tomislav Steinbruckner meletakkan Sony di bahagian sayap kanan dan kadang-kadang sebagai tengah menyerang, manakala ketua pasukan Terengganu, Habib pula diberi tanggungjawab sebagai defensive midfield.

Ramuan Tomislav memberi kepercayaan kepada kedua-duanya membuahkan hasil apabila duo import itu menuai ganjaran buat arena bola sepak Terengganu dengan menjadi naib johan Piala Malaysia 2023.

Penyokong yang menyukai gandingan mereka mungkin tidak menunggu lama untuk menyaksikan magis duo itu apabila pasukan KDA FC difahamkan berminat untuk membawa mereka ke Darul Aman pada tahun ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram