PERTAHANAN Sri Pahang menjelang musim baharu ini semakin diyakini apabila mereka baru sahaja mengesahkan Azrif Nasrulhaq sebagai pemain tetap dengan menandatangani kontrak dua musim.
Bek kanan berpengalaman berkenaan sebelum ini menyertai skuad Tok Gajah secara pinjaman dari Johor Darul Takzim (JDT) dalam usaha skuad Tok Gajah menambah baik barisan pertahanan mereka.
“Bek kanan, Azrif Nasrulhaq telah menandatangani kontrak selama dua musim untuk terus bersama Sri Pahang FC. Azrif pada musim lalu berstatus pemain pinjaman dari JDT dan menyerlah sebagai salah seorang pemain utama,” kata Sri Pahang di laman Facebook mereka.
Kehadirannya boleh dianggap cukup penting buat pasukan bimbingan Fandi apabila dia mencatatkan 23 penampilan Liga Super dengan satu gol dan satu bantuan jaringan direkodkannya.
Sumbangannya sedikit sebanyak membantu pasukan Pantai Timur itu menamatkan kempen di posisi lebih baik dari musim 2022 dengan menghuni kedudukan di tangga kelima dan merakam 45 mata sepanjang 26 perlawanan.
Bukan hanya penyokong Tok Gajah mendapat manfaat daripada penghijrahan Azrif ke kelab kendalian Fandi Ahmad, malah ia juga menambah pilihan untuk pengendali pasukan bola sepak Malaysia, Kim Pan-gon mencari menambah baik skuad depth.
BACA LAGI: Azrif akui Pahang kurang berpuas hati, kongsi masa depan bersama skuad Tok Gajah
Azrif merupakan antara tonggak utama yang membantu skuad Tok Gajah ke kedudukan kelima Liga Super musim ini. — Facebook/Sri Pahang FC
BACA LAGI: Sri Pahang berwajah baharu, mesin gol JDT antara 3 bekas bintang Liga M jadi idaman
“Buat betul-betul Azrif. Boleh jadi peluang untuk terpilih skuad Malaysia pula,” kata penyokong Tok Gajah, Kajang Unknown.
“Alhamdulillah. Aku suka Azrif dimasukkan sebagai pemain tetap. Harap lepas ini dia dapat panggilan dalam skuad negara,” tambah penyokong, Sirhan Medina.
“Terbaik Sri Pahang dah nampak jalan. Insya-ALLAH satu piala tahun ini,” puji penyokong, KhairilHasni Alan yang setuju dengan keputusan pihak pengurusan untuk mengekalkan Azrif.
Sebelum kariernya semakin menjunam dek kehilangan tempat di kem Harimau Selatan, Azrif antara bek kanan pilihan pasukan Harimau Malaya dengan namanya sering tersenarai dalam era kepimpinan Datuk Ong Kim Swee.
Oleh itu, tidak terkejut jika Azrif boleh memberi cabaran kepada Matthew Davies sekiranya pemain berusia 32 tahun itu mampu mengembalikan prestasi ke tahap lebih cemerlang pada musim 2024/2025. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram