Dari pemenang Kasut Emas ke pemain buangan, 3 destinasi relevan buat Nurshamil Ghani


  • Podium
  • Sabtu, 27 Jan 2024

Nushamil pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Perdana 2022. — Facebook/TRW

NURSHAMIL Ghani pernah diangkat menjadi hero Kelantan FC selepas ketajamannya di hadapan gawang membantu skuad The Red Warriors (TRW) dinobat sebagai naib juara saingan Liga Perdana musim 2022.

Musim itu menyaksikan Nurshamil muncul penjaring terbanyak Liga Perdana dengan sembilan jaringan gol dan berhasil membantu pasukan Pantai Timur itu melayakkan diri ke saingan Liga Super 2023.

Namun kini, penyerang berkualiti tempatan berkenaan masih tidak mempunyai sebarang kelab dan kini sedang menanti slot kosong dari mana-mana pasukan selepas dia sah meninggalkan Kuching City.

Pemain berusia 29 tahun itu menyertai skuad The Cats pada jendela perpindahan kedua Julai musim 2023 selepas Nurshamil menjadi antara mangsa tunggakan gaji Kelantan FC.

Bersama pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak, bekas pemain Melaka United FC (MUFC) berkenaan tidak berhasil mencetak sebarang gol selepas diturunkan dalam sembilan perlawanan domestik.

Daripada menyaksikan bakat Nurshamil disia-siakan begitu sahaja, berikut tiga pasukan yang boleh membantu mencari semula identiti penyerangnya dan membantu melonjakkan semula karier pemain berkenaan.

BACA LAGI: Dibuang Aidil Sharin, Nurshamil tunggu pasukan kosong isi slot penyerang

1) Negeri Sembilan

shahrel

Shahrel mencetak enam jaringan dalam 16 penampilan Liga Super pada musim lepas. — Facebook/NSFC

Selepas disuntik dengan lantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, Faliq Firdaus, Negeri Sembilan FC (NSFC) kini memasang hasrat untuk menaikkan semula kedudukan pada musim dekan dan sekali gus muncul sebagai pencabar pasukan lain.

Sejajar dengan objektif berkenaan, skuad Jang Hobin pasti sedang menyusun rancangan seperti membawa masuk pemain baharu untuk mempersiapkan pasukan menjelang musim baharu.

Antara posisi yang perlu diberikan perhatian sepenuhnya ialah bahagian serangan terutamanya selepas Shahrel Fikri dijangka tidak lagi bersama-sama skuad Jang Hobin.

Kehilangan Shahrel dapat diubati sekiranya NSFC merekrut penyerang tempatan berkualiti seperti Nurshamil.

Malah, skuad Hobin Jang Hobin juga mampu memberi pulangan lumayan dengan menaikkan semula nama Nurshamil seperti mereka membantu melonjakkan karier Shahrel pada musim lepas.

2) Perak FC

ycl

Yusri antara watak penting kebangkitan Perak FC dalam baki saingan liga. — Facebook/Perak FC

BACA LAGI: Sambil tunggu 'offer' JDT, CEO Perak FC dedah lepaskan import demi buru striker tajam

Selepas satu musim menghimpunkan pemain muda di bawah majikan baharu, Perak FC mempunyai misi berbeza pada musim depan iaitu ingin menghuni kedudukan ketujuh atau kelapan di penghujung musim nanti.

Bagi mencapai sasaran tersebut, barisan kejurulatihan kini giat mencari penyerang berkualiti membantu skuad kendalian Yusri Che Lah meningkatkan jumlah gol pada musim baharu ini.

Tugas itu dilihat cukup sesuai buat Nurshamil memandangkan kebolehannya di hadapan pintu gol masih belum pudar walaupun lebih kerap ‘diperam’ di bangku simpanan Kuching City.

Seperti pemain lain, skil Nurshamil juga masih boleh digilap semula seperti yang dilakukan Kelantan FC apabila memberi pemain itu kepercayaan menjadi penyerang utama.

3) Sri Pahang

kpah

Sri Pahang memerlukan seorang lagi watak penyerang untuk membantu Sherman di bahagian depan. — Facebook/SriPahang

Sri Pahang yang mempunyai masalah di bahagian serangan kerana banyak bergantung harap kepada Kpah Sherman pada musim lepas sudah boleh mempertimbangkan kehadiran Nurshamil ke kem Tok Gajah.

Skuad kendalian Fandi Ahmad bukan nama asing untuk Nurshamil apabila sebelum ini dia pernah menarik perhatian kelab yang berpangkalan di Pantai Timur tanah air tersebut.

Perkara positif jika Nurshamil menyertai Sri Pahang, pemain itu tidak akan terpalit masalah tunggakan gaji susulan Tok Gajah setakat ini tidak pernah lagi dikaitkan dengan isu kebajikan.

Sekiranya Nurshamil mahukan kestabilan di dalam mahupun luar padang, pasukan lamanya itu dilihat sebagai alternatif terbaik dari aspek kebajikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram