[VIDEO] Jadi pemain Kiko Insa, fans Garuda risau Asnawi ke Liga M lepas tamat kontrak di Port FC


  • Podium
  • Jumaat, 26 Jan 2024

Asnawi kini bertugas sebagai bek kanan Port FC. — Instagram/Asnawi

BEK kanan Indonesia, Asnawi Mangkualam diumumkan sebagai pemain baharu kelab divisyen satu Thailand, Port FC bagi membantu memperkuatkan pasukan berkenaan dalam mengharungi baki saingan liga musim 2023/24.

Berita penghijrahan Asnawi diumumkan menerusi satu hantaran di laman Instagram Port FC yang menyaksikan pemain berusia 25 tahun itu bakal mengisi kuota pemain Asia Tenggara kelab gergasi Thailand itu.

“Port FC berjaya memuktamadkan perjanjian penting dengan mengumumkan ketibaan pertahanan kanan, Asnawi Mangkualam yang juga kapten Indonesia ke kelab untuk bersaing dalam baki aksi liga 2023/2024 sebagai pemain import Asia Tenggara," katanya.

Setakat 15 perlawanan liga domestik, pertahanan pasukan berkenaan melepaskan 20 gol dengan Port FC berada di tempat ketiga dalam kedudukan Liga 1 Thailand dan mengumpul sebanyak 29 mata.

Asnawi sebelum ini bersama Jeonnam Dragons namun jodoh terlerai selepas tiga tahun bersama kelab liga divisyen dua berkenaan berikutan kontraknya tidak disambung pada 31 Disember yang lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] Pernah tackle Garnacho, bintang Indonesia disebut-sebut pengganti terbaik Quentin Cheng

BACA LAGI: 'Semoga Malaysia kalah', ekor Garuda doa HM jadi mangsa 'lauk' Bahrain

Perpindahannya ke saingan liga Asia Tenggara itu dibantu oleh Francisco Insa Bohigues atau digelar sebagai Kiko Insa susulannya bek kanan skuad Garuda berkenaan kini bernaung di bawah ejen terkenal tanah air itu.

Keputusan Asnawi ke InsaProject Global Group itu bagaimanapun kurang direstui penyokong Indonesia kerana bimbang ketua pasukan Garuda tersebut akan berkelana ke Liga Malaysia (Liga M) selepas bersama Port FC.

"Kalau gabung dengan agensi ini biasanya main di Malaysia," kata penyokong Indonesia, Werdi_didii.

"Jangan di main di Liga Malaysia Asnawi, jadi kurang berkembang nanti. Jordi Amat dah jadi contoh," tambah penyokong, Ejhaaaaa.

"Jangan bawa ke Liga Malaysia ini," kata seorang lagi penyokong, adampermana45.

Kiko Insa dikenali sebagai ejen yang sering membawa pemain import kepada kelab Liga Malaysia dan antaranya ialah Jordi Amat (Johor Darul Takzim), Liridon Krasniqi (bekas pemain Terengganu FC), Mario Arques (bekas import TRW) dan Levy Madinda (bekas Negeri Sembilan FC). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram