JENTERA serangan Selangor FC semakin kukuh apabila mereka baru sahaja mengumumkan kehadiran Alvin Fortes secara rasmi sebagai pemain import ketiga terbaharu Gergasi Merah untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2024/2025.
Perkembangan terkini mengenai kehadiran pemain berusia 29 tahun itu disahkan menerusi laman sesawang rasmi Selangor FC pada Ahad dan Fortes merupakan import ketiga Gergasi Merah selepas baru-baru ini mereka mengumumkan kehadiran Umarbek Eshmurodov serta Ronnie Fernandez.
Penyerang sayap kanan yang bakal bergandingan dengan Faisal Halim itu menyifatkan Selangor FC sebagai kelab terbaik untuk meneruskan karier profesionalnya.
BACA LAGI: Kenali Ronnie Fernandez, penyerang Chile disebut-sebut pengganti ideal Ayron di Selangor
BACA LAGI: Ketibaan Umar Eshmurodov jadi rekrut pertama Selangor FC
"Saya tahu akan kewujudan kelab Selangor FC dan sentiasa mengikuti perkembangan mereka. Bagi saya, ini adalah kelab besar yang mempunyai kemudahan untuk berlatih yang berkualiti dan mereka juga bermain dengan baik dalam liga musim lalu.
“Jadi, saya rasa ini kelab yang terbaik untuk saya teruskan kerjaya bola sepak," ujar Fortes memetik kenyataan yang dikeluarkan Selangor FC pada Ahad.
Untuk rekod, Malaysia menjadi negara ke-10 dalam perjalanan bola sepak Fortes. Sebelum ini, pemain antarabangsa Cape Verde itu sudah melebarkan sayap ke beberapa buah negara seperti Finland, Turki, Greece dan Republik Czech, Uzbekistan dan negara jiran, Thailand.
Orang cakap tak kenal maka tak cinta. Bagi mengenali secara mendalam pemain yang bakal membantu Selangor dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025 dan saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) 2024 ini, Majoriti berkongsi tiga info menarik mengenai Fortes.
1) Pernah terima gaji rendah
Fortes menerima RM17,900 secara mingguan bersama Ratchaburi pada musim lepas. — Instagram/Fortes
Meskipun Fortes dinilai pada tanda harga 400 ribu Euro (RM2.09 Juta) oleh laman Transfermarkt, namun penyerang berkaki kiri itu bukanlah seorang bintang berlagak diva yang khidmatnya ingin dibayar dengan harga tidak masuk akal.
Pemain kelahiran Belanda itu difahamkan pernah menerima jumlah gaji yang agak rendah ketika bersama Ratchaburi FC untuk dia yang mempunyai harga pasaran setanding bintang Thailand, Theerathon Bunmathan.
Fortes difahamkan menerima gaji berjumlah €3,500 (RM17,900) mingguan ketika menyarung jersi kelab Liga Satu Divisyen Thailand berkenaan, manakala Theerathon yang juga ketua pasukan Buriram itu mendapat €3,600 (RM18,200) seminggu.
Sikap tidak terlalu ‘demand’ itu dijangka membantu mengurangkan beban kewangan Selangor yang pastinya memerlukan lagi bajet untuk mempersiapkan pasukan pada musim baharu ini.
Sewaktu bersama Ratchabrui pada musim 2022 dań 2023, pemain yang mampu beraksi sebagai pemain tengah menyerang itu merekodkan 11 jaringan gol.
2) Korban potensi main dengan Belanda demi Cape Verdean
Fortes hanya tampil dalam satu perlawanan bersama Cape Verde. — Instagram/Fortes
Pemain berketinggian 1.76 meter itu merupakan pemain kelahiran Rotterdam, Belanda tetapi memilih untuk menyarung jersi skuad kebangsaan Cape Verde kerana bapanya merupakan keturunan negara tersebut.
Jika melihat pada perjalanan karier bola sepaknya, Fortes banyak menimba pengalaman bersama kelab-kelab Belanda dan antaranya ialah RKS Waalwijik (2014), Vitesse (2015, 2017) dan FC Oss pada separuh musim 2015.
Malah, bakat Fortes dihidu oleh pemain bola legenda Belanda, Patrick Kluivert, yang mana bekas pemain kelab Uzbekistan, FC AGMK itu dipilih sebagai salah seorang pemenang program Nike Football: The Chance pada 2013.
Dengan namanya ketika itu dilihat sebagai prospek pasukan kebangsaan Belanda, Fortes memilih untuk bertugas bersama Cape Verde dan melakukan debutnya ketika aksi kemenangan persahabatan 3–2 ke atas Algeria pada 1 Jun 2018.
3) Pernah main dengan bintang terkaya di dunia
Faiq merupakan pemain terkaya dunia. — Instagram/Faiq
Cakap sahaja Ratchaburi, pasti ramai tertanya-tanya sama ada Fortes sempat bergandingan dengan penyerang sayap Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid.
Malangnya, pemain itu tidak sempat bersemuka dengan tonggak kebangsaan berkenaan apabila sejurus sahaja dia kembali ke Ratchaburi pada Jun 2023, tempoh pinjaman Safawi sudah berakhir bersama skuad The Dragons.
Namun, Fortes diam-diam pernah beraksi bersama pemain bola sepak terkaya di dunia Faiq Bolkiah yang juga merupakan anak saudara kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
Pemain berusia 26 tahun itu dilaporkan mempunyai nilai kekayaan bersih kira-kira AS$20 (RM93.9 bilion) dan nilai tersebut melebihi kekayaan dua bintang bola sepak tersohor, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.
Faiq menyertai Ratchaburi pada Jun lepas dan mengisi kuota pemain import Asean yang sebelumnya diisi oleh Safawi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram