Jadi bintang HM pertama beraksi di Indonesia, Safee Sali buka jalan teroka liga seberang


  • Podium
  • Isnin, 05 Feb 2024

Perpindahan Safee (kanan) ke Indonesia mencetuskan sensasi dalam kalangan penyokong di sana. — Agensi

SATU perkara yang agak asing dalam bola sepak kita adalah menyaksikan pemain-pemain tempatan memilih untuk berkelana di luar Malaysia.

Bukanlah tidak ada, tetapi jumlah amat minima. Sebagai rekod, pemain seperti Safawi Rasid dan Nazmi Faiz pernah beraksi di Portugal. Sementara, Wan Zack Haikal dan Hadi Fayyadh antara nama-nama yang pernah beraksi di Jepun.

Tetapi di Indonesia, pemain bernama Safee Sali pernah beraksi di sana. Malahan, dia adalah pemain Malaysia pertama beraksi dalam saingan Liga 1 Indonesia apabila menyertai Pelita Jaya pada 2011.

Nama Safee meningkat naik selepas persembahan cemerlangnya bersama-sama Harimau Malaya pada Piala AFF 2010. Safee membantu Malaysia memenangi kejuaraan tersebut sambil merangkul gelaran penjaring terbanyak dengan lima gol.

Lebih menarik, Safee menghancurkan hati jutaan penyokong Garuda apabila tiga golnya pada perlawanan akhir memusnahkan impian Indonesia untuk menjadi juara.

Sungguh pun begitu, ia tidak menurunkan saham Safee di Indonesia apabila tiga kelab mengejar khidmatnya iaitu Pelita Jaya, Persib Bandung dan Balik Papan. Safee kemudiannya memilih untuk menyertai Pelita Jaya dari Selangor walaupun ketika itu kelab Indonesia tersebut sedang berada di zon bawahan liga.

BACA LAGI: Liga bola sepak Indonesia lubuk import 'reject' Liga M

553 (3)

Pelita Jaya menjadi pilihan Safee (tengah) selepas dirisik dua lagi kelab Indonesia. — Agensi

BACA LAGI: Kehadiran Fortes boleh selesaikan masalah 'winger' Selangor, bantu beri cabaran di Asia

Kehadiran Safee berjaya mengubah nasib Pelita Jaya apabila kelab itu berada di zon lebih selamat di akhir liga iaitu tangga ke-12 daripada 18 pasukan dengan mengutip 29 mata. Lebih menarik, Safee turut dipilih menjadi ketua pasukan kelab itu oleh pengendali Misha Radovic.

Melangkah ke hari ini, Safee sudah tidak lagi bermain selepas mengumumkan persaraannya pada Februari 2023. Dia kini menjadi presiden bagi Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM).

Impak perpindahan Safee ke Indonesia secara tak langsung membuka jalan kepada penglibatan warga Malaysia dalam bola sepak negara itu.

Sebagai contoh, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman turut mempunyai penguasaan terhadap kelab PSPS Riau sementara pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Junior Eldstal bermain untuk Dewa United.

Malah, terdapat pemain-pemain Liga Super yang beraksi di Indonesia selepas berkhidmat di Malaysia seperti David da Silva, Gustavo Almeida dan Julian Schwarzer. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram