'Sapa doh ke?', bintang HM dikhabarkan semakin hampir sertai TFC


  • Podium
  • Jumaat, 02 Feb 2024

Akhyar (kiri) dikatakan begitu hampir menjadi pemain Terengganu. — FAM

KELAB Liga Super, Terengganu FC mungkin mempunyai persiapan musim baharu yang agak perlahan tetapi mereka masih tidak jauh daripada perhatian ramai.

Walaupun mereka belum mengesahkan mana-mana pemain baharu untuk musim 2024/2025 terutamanya bagi bintang tempatan, tetapi skuad Penyu ada dikaitkan dengan beberapa nama.

Kebelakangan ini, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu dikatakan dikaitkan dengan beberapa nama pemain handalan negara yang berkempen di Piala Asia 2023.

Antara nama yang disebut-sebut adalah Safawi Rasid dan Akhyar Rashid. Kedua-dua nama tersebut sering disebut-sebut akan menyarung jersi Terengganu.

BACA LAGI: Enam pemain import atas padang, impian 3 kelab 'bajet ciput' bagai bermimpi siang hari

WhatsApp Image 2024-02-02 at 09.22.05

Klu yang mengatakan Akhyar kini berada di Terengganu. — Terengganu11

Pelbagai klu yang diberikan mengenai perpindahan dua pemain tersebut namun sehingga kini masih belum ada kenyataan rasmi daripada pihak kelab berkenaan Safawi mahu pun Akhyar.

Namun begitu, dikhabarkan salah satu daripada pemain tersebut dilihat sudah berada di bumi Darul Iman dan itu menguatkan lagi spekulasi yang salah seorang pemain Harimau Malaya itu akan menyertai Terengganu.

Dikatakan, Akhyar kini sudah berada di Terengganu selepas sebuah siaran di media sosial menunjukkan yang dia kini berada dekat salah sebuah kedai gunting rambut.

BACA LAGI: 'What is this?' Fans Santos buat berlagak kelab umum aksi pramusim lawan Kedah

Dalam siaran tersebut menyaksikan satu individu sedang berada di kedai gunting rambut dekat kawasan Kuala Terengganu. Walaupun wajahnya ditutup, tetapi warna rambutnya yang cerah membuatkan ramai berasakan orang itu adalah Akhyar.

Jika spekulasi itu benar, ia pastinya akan menguatkan lagi barisan serangan Terengganu apabila hadirnya seorang pemain sayap berkualiti seperti Akhyar. Seperti yang diketahui ramai, Akhyar mempunyai kualiti gelecekan yang tinggi yang mampu mengucar-kacirkan pertahanan lawan.

Untuk rekod, Akhyar memainkan peranan bersama Harimau Malaya di Piala Asia 2023 apabila dia diturunkan dalam kesemua perlawanan peringkat kumpulan menentang Jordan, Bahrain dan Korea Selatan.

Namun begitu, dia cuma diturunkan sebagai pemain gantian dalam kesemua perlawanan tersebut.

Apa-apa pun, nantikan pengumuman rasmi daripada Terengganu mengenai perpindahan tersebut sama ada Akhyar benar menyertai mereka atau tidak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram