Soleen harap tindakan FAM tidak bunuh karier Intan Sarah


  • Podium
  • Isnin, 29 Jan 2024

Intan Sarah sebelum ini sudah mengakui kesilapannya dan memohon maaf atas ciapan yang mengkritik keputusan Pan-gon. — Instagram/IntanSarah

BUKAN hanya penyokong tanah air, malah pengendali skuad bola sepak wanita kebangsaan, Soleen Al-Zoubi turut kecewa dengan tindakan memuat naik ciapan yang dilakukan pemainnya, Intan Sarah Zulgafli di laman media sosial.

Intan Sarah atau lebih dikenali sebagai Intan Serah itu mempertikaikan pemilihan pemain yang diturunkan oleh Pan-gon dalam aksi Kumpulan E Piala Asia 2023 berdepan Korea Selatan pada Khamis lepas.

Soleen yang ditemui dalam Majlis Perasmian Liga Bola Sepak Wanita FAS terbuka dengan sebarang tindakan yang bakal dikenakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke atas Intan Sarah.

Beliau bagaimanapun berharap agar hukuman yang diberikan kepada pemain bola sepak wanita itu setimpal dan tidak membunuh kariernya.

"Sudah pasti akan ada tindakan dalam daripada FAM dan sebagai ketua jurulatih bola sepak kebangsaan, saya menyokong sebarang tindakan FAM.

"Tetapi kami juga bersikap adil. Kami tidak mahu membunuh kariernya dan pastinya tidak mahu bersikap tidak kisah.

"Sebagai jurulatih, saya sangat tegas dan ia satu tindakan yang tidak boleh diterima,” katanya memetik laporan dari Stadium Astro.

Pengendali kelahiran Jordan tersebut juga menasihatkan agar para pemain dapat mengawal tindakan mereka untuk mengelak daripada terlibat dengan isu kontroversi sebegitu rupa.

BACA LAGI: Angkara kritik Pan-gon, FAM panggil Intan 'serah diri'

WhatsApp Image 2024-01-29 at 19.33.48

Soleen terbuka dengan sebarang tindakan yang bakal dikenakan FAM ke atas Intan Sarah. — Facebook/FAM

BACA LAGI: Ramai fans lelaki ‘backup’ Intan Serah

"Mungkin kami perlu mendidik lagi pemain memandangkan mereka belum sampai ke tahap profesional.

"Tetapi dia bertindak segera dengan memohon maaf, saya harap ini dijadikan pengajaran bukan sahaja dia malah setiap pemain.

"Emosi mungkin sukar dikawal tetapi pemain haruslah mengawal tindakan mereka," katanya.

Intan Sarah mencipta kontroversi apabila mengeluarkan komen keterlaluan mengeji tindakan Kim Pan-gon yang memasukkan pemain naturalisasi, Romel Morales pada penghujung perlawanan.

Penyerang berusia 24 tahun itu mengeluarkan komen sedemikian kerana berasakan Pan-gon sepatutnya meletakkan pemain lain kerana prestasi Romel yang kurang memuaskan di Qatar.

Dia mengharapkan pengendali tersebut memasukkan pemain lain seperti Safawi Rasid ditambah dengan pemain sayap itu pernah mempunyai rekod cemerlang bertemu skuad Taeguk Warriors. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram