'Tunggulah 5 hari lagi', Bobie kongsi perancangan jendela perpindahan kedua Perak


  • Podium
  • Rabu, 21 Jun 2023

Bobie enggan memberikan sebarang gambaran jelas mengenai pemain yang bakal menyertai skuad TBG.

JENDELA perpindahan kedua Liga Malaysia yang bakal dibuka pada awal Julai mampu menjadi satu titik perubahan buat mana-mana pasukan tempatan ketika ini.

Selain berpeluang menggugurkan pemain yang kurang memberi sumbangan, mereka juga berkesempatan untuk membawa masuk wajah-wajah baharu sepanjang tempoh berkenaan.

Antara pasukan yang dijangkakan akan melakukan rombakan secara besar-besaran ialah Perak FC memandangkan mereka kini berada di tangga ke-11.

Meskipun sudah berbelanja besar sepanjang jendela perpindahan pertama yang lalu, keputusan untuk menggantikan ketua jurulatih pastinya mengubah hala tuju skuad The Bos Gaurus (TBG).

Kehadiran Yusri Che Lah yang menggantikan Datuk Lim Teong Kim mendesak agar perubahan pemain dibuat sesuai dengan pendekatan taktikal masing-masing.

Malah, perkara itu sering disebut-sebut penyokong setia pasukan berkenaan apabila tiada perubahan dapat disuntik memasuki separuh kedua musim.

352539778_649277510381741_5979499895206224541_n

Skuad TBG masih memerlukan kehadiran beberapa nama-nama baharu. Facebook/Perak FC

Permintaan itu seolah-olah didengari pihak pengurusan apabila Ketua Pegawai Eksekutif Perak (CEO) FC, Bobie Farid Shamsudin mendedahkan bahawa pelbagai perancangan sudah dibuat meskipun jendela perpindahan masih belum dibuka.

Dalam satu sesi temubual yang disiarkan menerusi akaun YouTube TBGTV, dia menceritakan bahawa usaha sedang giat dilakukan bagi memastikan pemain yang menyertai skuad TBG memenuhi ciri-ciri seorang pemain Liga Super.

"Apa yang saya boleh kongsikan ialah barisan pemain untuk jendela perpindahan kedua kita sudah selesai. Tetapi, jumlah pemain yang sertai kita rahsiakan.

"Kesemua pemain sudah kita senaraikan, sudah cukup dan kita pun telah tutup buku. Jadi, kita akan lakukan pengumuman selepas bertemu PDRM FC," katanya.

Ketika ini, skuad TBG memiliki pasukan dengan purata umur terendah memandangkan pendekatan tersebut cukup digemari Teong Kim sebelum ini.

Namun, dengan Yusri Che Lah mempunyai cara berbeza, terdapat kemungkinanan pasukan Utara tanah air terbabit akan mencari pemain lebih senior.

Dalam masa sama, Bobie turut menepis beberapa khabar angin yang mengatakan Perak FC akan menerima pemain seperti Jordan Mintah dan Thiago Augusto yang kini tersebar di media sosial.

Selain itu, dia yang juga merupakan CEO OneXOX Sdn Bhd menegaskan bahawa beberapa pemain ketika ini juga terpaksa dilepaskan selepas kurang memberi impak buat kelab itu.

"Ada, ada yang akan keluar. Tetapi, siapa dia itu, tunggulah kita umumkan dalam masa lima hari lagi dengan kita juga menunggu semua proses dokumentasi selesai," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram