[VIDEO] Akibat kecewa, penyokong di Hong Kong 'boo' Inter Miami, tendang kepala Lionel Messi


  • Podium
  • Selasa, 06 Feb 2024

Keengganan Inter Miami memasukkan Messi ketika aksi persahabatan membuatkan penyokong kecewa sepanjang aksi tersebut. — Agensi

HARAPAN peminat bola sepak di Hong Kong untuk menyaksikan aksi Lionel Messi dalam satu perlawanan persahabatan baru-baru ini tidak kesampaian apabila penyerang legenda tersebut hanya berada di bangku simpanan sepanjang 90 minit permainan.

Pemenang Anugerah Ballon d'Or lapan kali itu sebelum ini bersama-sama kelabnya, Inter Miami dijadualkan menentang kesebelasan utama pilihan Hong Kong di stadium kebangsaan negara tersebut.

Aksi berkenaan diadakan sempena program jelajah Asia pasukan yang menyaksikan mereka bakal mengunjungi beberapa negara, termasuk Arab Saudi dan Jepun.

Bagaimanapun, dalam aksi di hadapan 40,000 penonton tersebut, kapten skuad antarabangsa Argentina itu tidak diturunkan dengan dia hanya memanaskan bangku simpanan.

BACA LAGI: Jaga rumah dan famili Lionel Messi, 'bodyguard' raih pendapatan lebih RM14 juta setahun

Perkara terbabit menyebabkan ribuan peminat berang dengan keputusan Inter Miami yang enggan memberikannya peluang berada di atas padang demi penyokong yang hadir.

Jadi, untuk meluahkan rasa kecewa itu, orang ramai yang membanjiri Stadium Nasional Hong Kong kemudiannya bertindak mencemuh dan mengejek kedua-dua pasukan selepas perlawanan berakhir.

Berdasarkan klip tular di media sosial, ramai daripada mereka mendesak agar pihak penganjur memulangkan semula wang tiket kepada penyokong yang hadir untuk menyaksikan aksi Messi.

Selain itu, ejekan turut dibuat terhadap pemilik Inter Miami, David Beckham atas keputusannya untuk tidak membenarkan pemain tersebut beraksi.

BACA LAGI: Julang Ballon d'Or kali ke-8, Messi abadikan kemenangan buat Maradona

Kemarahan terhadap perkara itu turut berlanjutan apabila beberapa klip dikongsikan di media sosial memaparkan orang ramai merosakkan iklan promosi akan kehadiran legenda bola sepak itu.

Ini termasuk sebuah video pendek yang tular memaparkan seorang penyokong menendang kadbod memaparkan penyerang tersebut sehingga rosak sebagai protes atas kekecewaan berkenaan.

Tindakan individu terbabit menyaksikan pelbagai respons diluahkan di laman media sosial dengan sebahagian pihak berasakan kelakuan itu hanya akan menutup peluang mengadakan aksi bertaraf dunia di Hong Kong pada masa akan datang.

Meskipun tanpa kelibat Messi, XI Hong Kong masih dikecewakan Inter Miami yang meraih kemenangan 4-1 dengan Robert Taylor, Lawson Connery Sunderland, Leonardo Campana dan Ryan Sailor menjaringkan gol buat kelab Amerika Syarikat itu.

Selepas ini, pasukan berkenaan bakal berdepan kelab Jepun, Vissel Kobe pada Rabu sebelum mengadakan satu perlawanan persahabatan menentang kelab Argentina, Newell's Old Boys pada Jumaat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram