Jaga rumah dan famili Lionel Messi, 'bodyguard' raih pendapatan lebih RM14 juta setahun


  • Podium
  • Jumaat, 24 Nov 2023

Chueko dilaporkan menerima gaji tahunan sebanyak RM14 juta untuk menjaga Messi. β€” Agensi

SAMA naik dengan bintang bola sepak jagaannya, pengawal peribadi Lionel Messi semakin mendapat tumpuan apabila bekas tentera laut itu dilantik untuk melindungi pemain bola sepak dunia itu dalam apa jua keadaan.

Yassine Chueko yang sudah bersara dari dunia ketenteraan dan mahir dalam bidang seni bela diri tae kwan do sentiasa memastikan dia bersedia untuk melindungi pemain Argentina itu daripada mana-mana penceroboh padang yang mungkin mahukan gambar atau tandatangan.

Di luar padang, Cheuko juga dirakam melindungi bintang itu daripada mana-mana peminat atau individu yang mungkin cuba mengganggu Messi apabila dia dalam perjalanan pulang selepas perlawanan.

Chueko mendapat kebenaran khas untuk berdiri di tepi padang apabila Messi sedang beraksi. Sekiranya ketua pasukan Argentina itu menjaringkan gol, maka beliau segera berlari kepada Messi bagi memastikan pemain itu dilindungi.

Messi

Chueko (belakang) menerima kritikan selepas dia menarik leher seorang peminat yang meluru masuk ke dalam padang untuk memeluk Messi. β€” Agensi

Namun, pasti ramai yang tertanya-tanya mengenai jumlah gaji tahunan yang diterima oleh Chueko sebagai pengawal peribadi kepada pemain yang memenangi lapan Ballon d’Or itu.

Menurusi laporan media, difahamkan Chueko menerima gaji tahunan sebanyak RM14 juta, lebih tepatnya pengawal itu menerima gaji bulanan sekitar lebih RM1 juta.

Dalam memastikan keselamatan Lionel Messi terjaga, Chueko tidak bekerja seorang diri apabila mereka mempunyai pasukan khas yang terdiri daripada 50 anggota yang ditugaskan untuk mengawal ahli keluarga serta kediaman pemain itu.

Sebelum ini, Chueko menerima kritikan selepas dia menarik leher seorang peminat yang meluru masuk ke dalam padang untuk memeluk Messi dalam sebuah perlawanan Major League Soccer (MLS) baru-baru ini. β€” Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram