KEHADIRAN legenda bola sepak England, David Bekcham ke Malaysia telah mencetuskan keterujaan buat warga tempatan.
Di Instagram, Beckham memuat naik gambar dengan berlatarkan Menara Berkembar Petronas (KLCC) menandakan yang dia kini sedang berada di Kuala Lumpur.
Malah, bekas pemain Real Madrid dan Manchester United itu turut memuji keindahan Kuala Lumpur yang dianggap sebagai bandar yang mengagumkannya.
"Maksud saya, wow. Cantiknya pemandangan ini, cantiknya bandar ini," kata Beckham di laman Instagramnya.
BACA LAGI: ‘See you soon’, bekas penyerang Penang hint kembali ke Stadium Bandaraya?
BACA LAGI: Spekulasi kini terpadam, Faisal Halim kekal bersama Selangor
Difahamkan, Beckham tiba di Malaysia untuk melancarkan butik baharu Adidas yang akan dibuka di bangunan Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur.
Mengetahui yang dia akan berada di Kuala Lumpur, ramai warga tempatan yang sempat mengusik Beckham untuk mengajaknya mencuba pelbagai makanan Malaysia.
"Lah bila sampai? Esok ngeteh jom," kata Mel Rosid.
"Jom lepak Desa Pandan," tawar Farah Aqilah Yusri pula.
"Kenapa tak bawa Lionel Messi sekali?," soal Shazlan Azim.
Sebelum ini, bekas ketua pasukan England itu telah tiba di Thailand untuk melakukan perkara sama dan kini telah berada di Malaysia untuk melancarkan butik jenama terkenal dari Jerman itu.
Melihat Beckham seolah-olah sedang rancak melakukan jelajah di Asia Tenggara, ada suara-suara yang mengharapkan pemilik Inter Miami itu untuk singgah ke Indonesia.
Difahamkan, Beckham tidak akan singgah ke Indonesia dalam jelajahnya ke Asia Tenggara.
"Thailand sudah, Malaysia sudah, lepas ni tolonglah datang ke Indonesia. Boleh cuba berbekam di sini," kata akaun menggunakan nama Fakta Bola.
"Datanglah ke Indonesia!," pinta ItsmeDhyl merayu kepada Beckham. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram