BEBERAPA tahun lalu, penyokong Hijau Kuning cukup gembira selepas skuad Sang Kenari berjaya melahirkan seorang penyerang sayap berbahaya, Farhan Roslan.
Meskipun tubuhnya agak kecil, kelincahannya dalam melepasi benteng pertahanan lawan menyaksikannya menjadi komponen utama serangan buat dua jurulatih berpengaruh Kedah FA, Tan Cheng Hoe dan Aidil Sharin Sahak.
Namun, harapannya untuk diangkat sebagai permata bola sepak di negeri itu tidak kesampaian kerana dia pernah mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) yang serius pada April 2018.
Masalah itu menyaksikannya terpaksa disisihkan untuk satu tempoh yang panjang, sekali gus mendesak Aidil meletakkan kepercayaan penuh terhadap pemain lain.
Kepulangannya juga tidak berjaya mengembalikannya ke prestasi terbaik apabila Farhan kelihatan kurang yakin untuk menggelecek bola kerana dikhuatiri kecederaannya akan berulang.
BACA LAGI: Forestieri beri bayangan akan pulang ke kampung, bakal sertai kelab lama Messi
Farhan hanya kekal bersama skuad TRW untuk separuh musim. — Facebook/TRW Kelantan FC
Jadi, dengan sumbangannya buat skuad Sang Kenari semakin terjejas, pihak pengurusan memilih untuk melepaskannya secara pinjaman pada 2021 dengan Perak FC menjadi destinasinya.
Bagaimanapun, nasib sekali lagi tidak menyebelahi anak jati Kedah itu apabila skuad The Bos Gaurus (TBG) berada dalam keadaan terumbang-ambing ketika itu sehingga menyaksikannya mampu mencatat satu gol dalam lapan perlawanan.
Hasratnya untuk pulang ke negeri kelahirannya juga dilihat semakin sukar dengan pasukan tersebut sudah dibanjiri pemain sayap lebih muda dan cergas.
Oleh itu, dalam usaha mengembalikan prestasinya, pemain yang diberi jolokan 'Messi Kedah' itu memilih untuk menyertai beberapa bekas rakan sepasukannya di Kelantan FC pada 2022.
Pengalamannya beraksi di Liga Super membuatkan pihak pengurusan kelab Pantai Timur itu cukup tertarik dengan khidmatnya dalam misi The Red Warriors (TRW) kembali ke divisyen teratas bola sepak tanah air.
BACA LAGI: Sertai Inter Miami, Luis Suarez bakal berganding dengan Lionel Messi, bintang Man City
Farhan kini masih aktif bersama skuad Sang Badak. — Facebook/Sabah FC
Menurutnya, dia tidak meletakkan sebarang impian dan sasaran sepanjang bersama pasukan berkenaan, namun berharap mampu memberikan yang terbaik sebagai tanda membalas jasa.
Prestasinya pada awal boleh dikatakan memberangsangkan apabila dia menjaringkan satu gol Liga Perdana dalam tujuh penampilan sebelum jendela perpindahan kedua dibuka.
Namun, hasratnya untuk terus menabur bakti buat pasukan itu tidak kesampaian apabila kelab yang sedang meningkat naik, Sabah FC tampil membuat tawaran baginya.
Peluang tersebut pastinya sukar ditolak Farhan memandangkan terdapatnya beberapa legenda Kedah dalam skuad Sang Badak seperti Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali.
Selain itu, perpindahan ke kelab Borneo itu bakal menyaksikannya berada di bawah bimbingan pengendali berpengalaman, Datuk Ong Kim Swee yang cukup disegani ramai.
Meskipun terus dilanda isu kecederaan, Farhan kini masih beraksi buat pasukan tersebut dengan hanya beberapa penampilan dari bangku simpanan berjaya direkodkannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram