BINTANG Inter Miami, Lionel Messi diumumkan sebagai pemenang Ballon d'Or buat kali kelapan pada Selasa.
Penyerang sensasi kelahiran Argentina itu dipilih sebagai pemenang Ballon d’Or selepas membantu Argentina menjuarai Piala Dunia di Qatar 2022, selain meledak tujuh gol dan dinobatkan pemain terbaik kejohanan.
Messi juga berjaya mengatasi penyerang berbisa Manchester City, Erling Haaland dan bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe.
Messi mencatat rekod selepas bergelar pemenang Ballon d'Or kali kelapan. — Instagram/Leomessi
Pemain berusia 36 tahun itu bagaimanapun mengabadikan kemenangan tersebut kepada penyerang legenda Argentina, mendiang Diego Maradona dalam ucapannya.
“Kata-kata terakhir saya pada hari ini adalah untuk mendiang Diego Maradona.
"Hari ini adalah hari lahirnya. Jadi saya ingin mengingatinya dalam majlis ini, dikelilingi oleh pemain terbaik, jurulatih dan orang yang meminati bola sepak seperti dia.
"Di mana sahaja awak berada, Diego, selamat hari jadi. Ini juga untuk awak," katanya.
Pada November 2020, Maradona meninggal dunia selepas beberapa tahun bertarung dengan isu penyalahgunaan dadah serta obesiti yang dialaminya sejak menamatkan karier.
Kedua-dua ikon bola sepak Argentina itu pernah berganding sebelum ini ketika Maradona bergelar Ketua Jurulatih skuad antarabangsa Argentina dengan Messi ketika itu baru sahaja membuktikan kemampuannya sebagai pemain terbaik dunia.
Di samping itu, Messi turut melahirkan ucapan terima kasih kepada pasukannya.
“Ini adalah hadiah untuk pasukan Argentina di atas pencapaian kami," kongsinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram