
SEHINGGA kini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) masih belum mengeluarkan kata putus mengenai jumlah pasukan yang bakal bersaing dalam Liga Super 2024/25.
Isu tunggakan gaji dialami beberapa pasukan menyaksikan pengelola bola sepak tanah air itu terus mengalami dilema meskipun perkara tersebut didesak orang ramai yang terus tertanya-tanya mengenainya.
Setakat ini, terdapat 13 pasukan yang sudah diberikan lesen untuk beraksi selepas pasukan tercorot, Kelantan FC dihalang daripada menyertai berikutan isu penghantaran dokumen.
Jumlah yang semakin berkurangan tersebut pastinya cukup dikhuatiri MFL memandangkan kekurangan pesaing hanya akan mencalarkan imej Liga Super.
BACA LAGI: Bincang status Kelantan minggu depan, MFL pantau Kedah dan KUFC isu pembayaran gaji tertunggak
Terdapat dakwaan jumlah pasukan bersaing dalam Liga Super musim depan akan terus merosot. — Vocket FC
Isu tersebut dikejutkan sekali lagi apabila baru-baru ini, Harian Metro mendedahkan bahawa terdapat kemungkinan jumlah pasukan akan terus berkurangan.
Berdasarkan perkongsian pada Selasa, sumber dalaman mengatakan masalah kewangan dialami Kedah Darul Aman (KDA) FC serta Kuala Lumpur (KL) City FC mengancam status mereka dalam divisyen teratas bola sepak tanah air musim depan.
Namun, perkara berkenaan adalah tidak benar seperti mana dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Stuart Ramalingam ketika ditanya mengenainya.
"Tidak, ini adalah tidak benar. Kami sedang berusaha untuk melengkapkan kesemua 14 slot. Jadi, ia sememangnya tidak tepat.
"Kami juga sedang cuba mencari jalan penyelesaian mengenai isu tunggakan dialami kelab lain ketika ini. Terima kasih kerana menyemak terlebih dahulu hal ini dengan saya," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Isu gaji 5 bulan Kedah, MFL kongsi masa depan Lesen Kebangsaan Sang Kenari
KDA FC dan KL City FC dikatakan masih belum menyelesaikan isu tunggakan gaji. — Facebook/KDA FC
Bagaimanapun, Stuart masih belum mendedahkan pasukan manakah yang bakal menyertai Liga Super 2024/25 dengan khabar angin mengatakan Melaka FC atau KL Rovers sudah membuat permohonan tersebut.
Setakat ini, laporan tidak rasmi mendedahkan beberapa kelab masih bergelut dengan masalah tunggakan gaji dengan Negeri Sembilan FC dan Kelantan United merupakan antara yang terkesan.
Isu tersebut pastinya mahu diselesaikan MFL dengan segera memandangkan kekerapannya berulang saban tahun membuatkan sokongan orang ramai terhadap arena bola sepak tanah air semakin merosot. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram