PERJUANGAN Jepun di Piala Asia 2023 terhenti selepas Iran melakar kejutan dengan menyingkirkan juara empat kali itu 2-1 pada aksi suku akhir Piala Asia pada Sabtu.
Keputusan berkenaan memang sesuatu yang mengejutkan pada edisi kali ini susulan ramai meletakkan Jepun sebagai calon pilihan untuk membawa pula trofi kejohanan tertinggi Asia tersebut.
Kekalahan tersebut pasti membuatkan para penyokong global melihat kembali senarai pemain yang dibawah oleh Hajime Moriyasu ke saingan Piala Asia kali ini.
Antara bintang Jepun yang dipanggil Moriyasu ialah Takehiro Tomiyasu (Arsenal), Wataru Endo (Liverpool), Takumi Minamino (AS Monaco), Kaoru Mitoma (Brighton & Hove Albion), Takefusa Kubo (Real Sociedad) dan Ritsu Doan (Freiburg).
Namun, tahukah anda terdapat seorang bekas bintang tercicir skuad Piala Asia Jepun pernah berkenaan Liga Malaysia (Liga M) dengan menjadi sebahagian tenaga import Sabah FC pada musim 2022.
Pemain yang dimaksudkan ialah perancang Jepun, Taiki Kagayama yang menjadikan Sabah sebagai pasukan Asia pertamanya selepas meninggalkan kelab Finland, Inter Turku kira-kira dua tahun lepas.
Kagayama yang tiba di tanah air pada usia 25 tahun itu berkongsi sebab penghijrahannya ke kelab Borneo berkenaan adalah untuk mencari persekitaran baharu, selain berminat untuk menimba ilmu di bawah Datuk Ong Kim Swee.
BACA LAGI: Sabah FC terseksa jinakkan KUFC, 3 nama penyerang baharu jadi sebutan
Kagayama hanya menabur bakti selama semusim bersama Sabah FC. — MFL
“Saya sentiasa mencari peluang untuk meningkatkan taraf saya. Salah satu sebab terbesar saya datang ke sini adalah kerana jurulatih Ong (Kim Swee).
“Pada pendapat saya, seorang pemain bola sepak harus bermain untuk jurulatih yang menghargainya dan inilah suasana yang saya dapat daripadanya.
“Saya berharap dapat menjaringkan gol dan mencapai sasaran yang ditetapkan oleh kelab. Saya harap ia akan menjadi musim yang baik,” katanya memetik laporan The Star pada dua tahun lepas.
Karier bola sepak profesional Kagayama bermula pada tiga tahun lalu di Finland dan bermain untuk Ykkonen (divisyen satu), MuSa dan KPV, sebelum membuat perpindahan besar ke kelab Veikkausliiga (divisyen perdana) Inter Turku pada 2020.
Pada tahun pertamanya, Kagayama membantu pasukannya menduduki tempat kedua dan layak ke Liga Europa, dan musim 2021 menyaksikan mereka berakhir di tempat keempat.
Semasa zaman bola sepak remajanya di Jepun, Kagayama adalah sebahagian daripada Akademi JFA Fukushima sebelum berpindah ke Universiti Kansai, tempat dia bermain dari 2015 hingga 2018.
BACA LAGI: [VIDEO] Sabah jadi destinasi terbaik Brendan Gan lepas jodoh bersama Selangor berakhir
Kagayama ketika itu berkata, dia teruja untuk merasai pengalaman pertama bola sepak profesional di rantau Asia.
“Saya telah mengikuti perkembangan bola di Malaysia dan saya percaya tahap dan persekitaran semakin baik. Ia sudah tentu bertambah baik, itu sudah pasti.
“Saya kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh penyokong. Seorang pemain profesional berkembang maju dalam suasana seperti itu dan saya percaya saya berada di tempat yang betul,” kongsinya.
Jodoh Kagayama bersama Sabah bagaimanapun tidak bertahan lama apabila dia memutuskan untuk berhijrah ke Samgurali Tskaltubo yang beraksi di Erovnuli Liga di Georgia pada musim 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram