Isu gaji 5 bulan Kedah, MFL kongsi masa depan Lesen Kebangsaan Sang Kenari


  • Podium
  • Isnin, 08 Jan 2024

Kedah difahamkan mengalami tunggakan gaji selama lima bulan. — Facebook/KDAFC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC baru-baru ini terpalit dengan isu tunggakan gaji sehingga lima bulan dengan perkara berkenaan turut diakui sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif kelab, Khamal Idris Ali.

Khamal Idris menyatakan bahawa hanya sebahagian kecil sahaja yang terpalit dengan tunggakan gaji selama lima bulan berkenaan dan ia membabitkan beberapa orang pemain belia pasukan Hijau Kuning.

"Sekarang ini perkara itu tak betul. Ada pasukan belia tapi mereka dua bulan sahaja sebab latihan sampai bulan September. Ada sebahagian kecil (pasukan belia) tunggak lima bulan tapi bukan keseluruhan terutamanya yang tandatangan dua tahun," katanya kepada Majoriti.

Sementara itu, sebahagian pemain pasukan Liga Super kendalian Nafuzi Zain pula sudah diselesaikan pihak pengurusan dan ada beberapa pemain pula mengalami tunggakan gaji selama dua bulan.

Masalah tunggakan gaji selama lima bulan tersebut bagaimanapun sedang diselesaikan oleh pihak pengurusan Sang Kenari dengan mereka mempunyai tempoh masa untuk mencari titik noktah bagi mengatasinya.

BACA LAGI: Tak nafi Kedah ada tunggakan gaji 5 bulan tapi... — Khamal Idris

KHAMAL

Menurut Khamal Idris hanya sebahagian kecil sahaja yang terpalit dengan tunggakan gaji selama lima bulan. — Facebook/KDAFC

"Kebanyakan (skuad) Bawah 18, Bawah 20 sangkut dua bulan. Liga Super tak sampai lima bulan. Liga Super ada yang dah selesai, ada yang dua bulan, dua bulan setengah. Kita akan selesaikan semua ini dalam sebelum 31 Januari ini," jelasnya.

Walaupun sudah ada jaminan diberikan Khamal Idris, segelintir penyokong masih kurang yakin terhadap solusi pihak pengurusan sehingga ada di antaranya bimbang jika ia memberi kesan kepada Lesen Kebangsaan.

Menjawab kekhuatiran pemain ke-12 Kedah itu, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam menyatakan bahawa pihaknya sedang memantau isu melibatkan Kedah itu.

BACA LAGI: Khamal Idris sahkan Kedah dah ada senarai 'dream team', bakal penaja

STU

Stuart turut mengakui Kedah terpalit dengan isu tunggakan gaji selama lima bulan. — Facebook/KDAFC

Sama ada pihak MFL akan menarik semula Lesen Kebangsaan Kedah, keputusan tersebut akan diputuskan jika skuad Hijau Kuning melanggar perjanjian iaitu tempoh masa yang mereka telah tetapkan.

"Kami memantau perkara ini dan juga bekerjasama rapat dengan PFAM (Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia) juga.

"MFL sedang memantau perkara ini dan akan membuat kenyataan mengenai perkara ini jika kita melihat sebarang pelanggaran perjanjian penyelesaian mereka dan laporan diterima," katanya ringkas kepada Majoriti.

Kedah bersama 13 lagi berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan menyaksikan mereka layak bertanding dalam saingan Liga Super 2024-2025. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram