
SELEPAS kurang memberikan impak di pentas Asia musim lalu, Johor Darul Ta'zim (JDT) kini boleh dikatakan sedang sibuk memperkuatkan skuad bagi saingan akan datang.
Kehadiran pemain baharu, Jalil Elias dituruti dengan keputusan pihak pengurusan mendapatkan import dari Portugal, Francisco Geraldes yang masing-masing cukup cemerlang di posisi tengah.
Selepas itu, pasukan kendalian Hector Bidoglio itu bertindak menandatangani seorang pemain pertahanan, Murilo Henrique yang dilepaskan kelab Finland, SJK Seinajoki beberapa bulan llau.
Bagaimanapun, perbelanjaan mereka tidak terhenti di situ apabila baru-baru ini, skuad Harimau Selatan mengumumkan kehadiran bekas pemain Buriram United, Nicolao Dumitru.
Malah, dalam usaha mengekalkan ketajaman jentera serangan pasukan, JDT turut mengekalkan khidmat pemain sayap, Fernando Forestieri yang sebelum ini dikatakan bakal meninggalkan kelab itu.
Kemasukan rekrut baharu di samping keputisan mengekalkan import dari Argentina itu boleh dikatakan sebagai bukti bahawa kelab Selatan tanah air berkenaan bercita-cita besar dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elit 2024/25.
BACA LAGI: Mahu lenyap badi Tok Gajah, JDT pilih sambar Farizal Marlias
Dumitru merupakan rekrut ketiga skuad Harimau Selatan untuk musim depan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Namun, usaha JDT boleh dianggap masih belum terhenti di situ apabila pemilik mereka, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris mengatakan beberapa pemain akan menyertai pasukan berkenaan.
Pendedahan berkenaan dibuat baru-baru ini menerusi satu komen ditinggalkannya di video pengumuman Forestieri pada Isnin yang mencuri perhatian pelbagai pihak.
"JDT dah tandatangani tiga pemain luar negara baharu. Satu dipinjamkan, lagi dua sampai pada Jun. Seorang pemain tempatan akan ditandatangani dan dipinjamkan untuk dapatkan minit permainan. Lagi seorang naturalisasi dalam squad JDT," tulisnya.
Sebelum ini, TMJ pernah mengatakan skuad Harimau Selatan akan menerima khidmat seorang lagi pemain import, namun masih tidak mendedahkan sebarang nama yang bersesuaian.
Tetapi, perancangan berkenaan sememangnya cukup disokong pelbagai pihak yang melihat kehadiran rekrut berkualiti mampu menaikkan lagi kualiti skuad.
BACA LAGI: Kemilau bintang EPL makin pudar genap 3 musim bersama JDT
Tangkap layar daripada perkongsian TMJ mengenai perancangan JDT sepanjang jendela perpindahan kali ini.
Bagi pemain tempatan pula, ramai berasakan individu dimaksudkan ialah bek kanan Terengganu FC, Azam Azmi Murad yang sudah beberapa kali dikaitkan dengan skuad Harimau Selatan.
Selain masih berusia muda, kebolehannya dianggap mampu memberi tentangan terhadap tonggak pertahanan JDT, Matt Davies yang seperti sudah terlalu selesa di posisi berkenaan.
Kehadirannya juga sebelum ini turut disokong dengan khabar angin bahawa skuad Harimau Selatan akan meminjamkannya keluar buat separuh musim demi minit permainan.
Penyerang naturalisasi negara baharu, Romel Morales turut dikaitkan dengan JDT memandangkan kontraknya bersama Kuala Lumpur (KL) City FC sudah menghampiri penghujungnya.
Meskipun sudah memiliki pelbagai pilihan dalam jentera serangan, kemasukan pemain kelahiran Colombia berkenaan pastinya tidak akan membawa sebarang kerugian kerana statusnya ketika ini tidak akan memberi kesan terhadap kuota import pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram