KURANG seminggu Sabah FC akan berangkat ke Australia untuk menentang kelab Macarthur FC bagi aksi separuh akhir Zon Asean Piala AFC, The Rhinos nampaknya menerima tonik tambahan menjelang perławanan getir berkenaan.
Sesi latihan Sabah FC diserikan dengan kehadiran Rizal Ghazali dan Daniel Ting, yang mana sebelum ini kedua-dua pertahanan berkenaan dikhabarkan meninggalkan The Rhinos.
Menerusi hantaran terbaharu The Rhinos di laman Facebook, Daniel dilihat sedang fokus menjalani sesi latihan The Rhinos tetapi berbeza dengan Rizal yang hanya menyarung t-shirt biasa di foto berkenaan.
Menjengah di ruang komen penyokong The Rhinos, ramai menduga bahawa bekas pertahanan kanan kebangsaan itu hanya melawat kem Sabah susulan hubungan baik yang masih terjalin sesama rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan.
BACA LAGI: [VIDEO] Bukan hanya Kedah, 4 kelab tanah air berebut khidmat Rizal Ghazali
Foto Rizal di sesi latihan Sabah FC yang dimuat naik Facebook The Rhinos pada Isnin. — Facebook/SabahFC
Namun, tidak kurang juga ada yang berharap kemungkinan Rizal ditandangani semula bagi membantu pertahanan Sabah untuk aksi Piala AFC walaupun umum mengetahui kontraknya bersama The Rhinos sudah tamat pada Disember lepas.
Jika benar Rizal kembali ke pasukan berpangkalan di Borneo tanah air berkenaan, ia akan menutup peluang kelab seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk menyambar semula khidmatnya.
Sementara itu, kehadiran semula Daniel di Kota Kinabalu pula menutup peluang Selangor FC untuk merekrutnya sebagai bek kiri baharu mereka pada musim 2024/2025 ini.
Selangor FC dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmatnya selepas aksi cemerlang yang ditampilkan Daniel semasa menentang Korea Selatan dalam saingan Piala Asia 2023 di Qatar.
Kemunculan pemain berusia 31 tahun bermaksud Sabah FC berhasil mengadakan rundingan bersama pihak Johor Darul Takzim (JDT) untuk meneruskan tempoh pinjaman Daniel. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram