KELAB Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) sememangnya mempunyai tahap piawai yang tersendiri dalam mendapatkan pemain.
Sejak dari 2013, Harimau Selatan mempunyai kecenderungan untuk mendapatkan pemain yang berprofil tinggi atau berasal daripada latar belakang bola sepak yang baik.
Perkara tersebut dapat dilihat apabila mereka sering mendapatkan pemain import handalan seperti Dani Guiza yang merupakan pemain Sepanyol terakhir memenangi kasut emas La Liga, legenda Argentina Pablo Aimar serta penyerang handalan Bergson da Silva.
Untuk pemain tempatan juga begitu, JDT beberapa kali mendapatkan penjaga gol nombor satu negara seperti Farizal Marlias dan Syihan Hazmi serta pemain handalan lain iaitu Safee Sali dan Safiq Rahim.
Tiga tahun lalu, JDT pernah mendapatkan pemain yang beraksi di English Premier League (EPL) iaitu Nathaniel Hong Wan.
Hong Wan sebelum ini beraksi untuk Wolverhampton Wanderers dan merupakan pemain berdarah Malaysia yang mempunyai kerakyatan United Kingdom.
BACA LAGI: Klinsmann buka mulut kenapa dia tersenyum saat Romel Morales gegar gol Korea Selatan
BACA LAGI: ‘Steady 4 bini’, Forestieri atasi peledak Tok Gajah dan bintang Serie A, topscorer Itali musim 2023
Disebabkan dia menyertai JDT, Hong Wan memilih untuk mendapatkan kerakayatan Malaysia sekali gus membolehkan dia mewakili Harimau Malaya.
"Persetujuan (Hong Wan sertai JDT) akan bergantung kepada permohonan pemain itu untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia dan dia akan bersama-sama pasukan sebaik saja kontraknya tamat pada Jun 2021," kata Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards ketika itu.
Cuma melangkah ke hari ini, Hong Wan masih lagi dalam perjalanan untuk memenuhi potensinya. Reputasinya yang pernah bersama salah sebuah pasukan EPL sedikit sebanyak memberikan tekanan kepada Hong Wan.
Namun begitu, Hong Wan sedikit demi sedikit mengukuhkan namanya dalam skuad JDT walaupun perlu bersaing hebat dengan Syamer Kutty Abba yang beraksi di posisi sama dengannya.
Akan tetapi, Hong Wan masih lagi mencari jalan untuk menembusi pintu skuad kebangsaan. Walaupun ada beberapa kali dipanggil menyertai kem latihan pusat, tetapi dia masih belum lagi diturunkan bersama Harimau Malaya.
Dengan usia baru mencecah 23 tahun, masih lagi ada masa untuk Hong Wan bangkit dan menjadi antara pemain tengah terbaik dalam sejarah bola sepak Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram