Hampir gantung but, Joseph Kalang Tie kini pilih ceburi bidang kejurulatihan


  • Podium
  • Selasa, 06 Feb 2024

Joseph yang sudah semakin hampir menamatkan kariernya dilihat berminat untuk bergelar seorang jurulatih pada masa akan datang. — Facebook/Kuching City FC

BUKANLAH sesuatu perkara yang baharu buat mana-mana pemain bola sepak untuk menceburi bidang kejurulatihan memasuki penghujung karier masing-masing.

Hal tersebut turut berlaku dalam negara apabila pemain sering mengambil keputusan mendapatkan lesen dalam usaha memastikan sumber pendapatan tidak terjejas selepas tidak lagi aktif di atas padang.

Meskipun ada dalam kalangan mereka yang kurang sukses setelah mengubah haluan masing-masing, ia tidak menutup pintu buat mereka yang lain untuk mencuba kerjaya berkenaan.

Antara yang dilihat cukup berminat untuk melibatkan diri dalam bidang kejurulatihan ialah bekas pemain kebangsaan, Joseph Kalang Tie yang baru-baru ini berkongsi satu berita menggembirakan.

Dalam satu hantaran di laman Facebook peribadinya pada Jumaat, pemain kelahiran Sarawak terbabit mengumumkan bahawa dia sudah berjaya memperoleh lesen bertaraf kebangsaan.

"Puji Tuhan. Bukan hendak bermegah, cuma hendak berkongsi kegembiraan yang tidak dapat digambarkan,syukur dengan rezeki Tuhan bagi pinjam hanya untuk sementara di dunia ini sahaja.

BACA LAGI: Bukan tak layak, tapi ada 4 sebab gol Joseph Kalang mustahil ke Anugerah Puskas

425556830_7974420042571575_6529505888929373289_n

Dokumen dikongsikan Joseph Kalang Tie mengenai status permohonanan lesen kejurulatihan. Facebook/Joseph Kalang

BACA LAGI: Saya mahu orang ingat Kuching City - Kalang Tie

"Doakan saya semoga dipermudahkan segala urusan dalam bidang yang sama, tetapi cuma hanya kedudukan yang berlainan. Moga kita semua dimurahkan rezeki dan diberi kesihatan yang baik," tulisnya.

Hantaran itu dibuat berserta dokumen daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang mengesahkan bahawa Joseph sudah memiliki lesen AFC Diploma A.

Meskipun masih belum layak untuk mengendalikan pasukan Liga Super, ia memberi peluang buat pemain Kuching City FC berkenaan bergelar jurulatih bagi skuad simpanan.

Selain itu, bekas pemain Pahang FA dan Terengganu FA terbabit berkongsi sekeping foto daripada FAM memaparkan beberapa individu lain yang difahamkan turut menyertai kursus bagi mendapatkan lesen kejurulatihan itu.

Berdasarkan karier Joseph, dia dilihat mempunyai kredibiliti untuk menjadi seorang pengendali berkualiti dengan sikap kepimpinannya sememangnya diakui.

Kini, dengan usianya sudah mencecah 36 tahun, khidmatnya sudah tidak lagi ditagih dengan kerap bersama skuad The Cats apabila pemain sayap tersebut hanya merekodkan tujuh penampilan Liga Super musim lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram