HEBOH diperkatakan di media sosial mengenai jaringan wonder goal pemain Kuching City FC, Joseph Kalang Tie dalam perlawanan persahabatan menentang kelab Kemboja, Phnom Penh Crown FC baru-baru ini.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan pihaknya akan meneliti gol dari jarak 70 meter itu sebelum ia dicalonkan untuk Anugerah Puskas 2023 bagi memastikan gol berkenaan memenuhi syarat yang ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Meskipun dianggap sebagai jaringan yang hebat, namun ada beberapa sebab gol tersebut dilihat sukar untuk dicalonkan ke Anugerah Puskas.
Berikut empat sebab yang membuatkan pencalonan itu agak mustahil untuk dibuat berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan oleh FIFA bagi pencalonan Anugerah Puskas:
Rakaman jaringan wonder goal daripada Joseeph Kalang ketika perlawanan persahabatan antara Kuching City FC dan Phnom Penh Crown FC. — Facebook
1) Status perlawanan
Pencalonan gol Joseph Kalang sukar dibuat kerana perlawanan antara Kuching City dan Phnom Penh Crown FC pada 4 Februari lalu itu merupakan perlawanan persahabatan.
Ia bukan dihasilkan di pertandingan yang diiktiraf oleh FIFA atau badan bersekutunya. Malah pertandingan itu bukan anjuran Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ataupun FIFA. Ini bermakna syarat pertama sudah menyebabkan jaringan tersebut tidak layak diiktiraf oleh FIFA.
2) Skil jaringan gol
Gol yang boleh dikira sebagai cantik seperti gol jarak jauh, gol berpasukan, gol sepakan gunting, gol hasil gerakan individu seperti menampilkan skil menggelecek.
Untuk kriteria ini, jaringan oleh Joseph dianggap sebagai gol jarak jauh.
Faiz Subri mencipta sejarah bola sepak Malaysia dan Asia selepas merangkul Anugerah Puskas FIFA 2016. — FIFA
3) Gol yang sahih (valid)
Gol mestilah bukan bernasib baik, hasil kesilapan, bola tertampan atau pemain yang berada dalam keadaan ofsaid.
Dengan kata lain, gol mestilah hasil kerja yang dirancang. Kalau pemain yang menjaringkan gol tersebut berada dalam keadaan ofsaid, meskipun gol tersebut dikira dalam perlawanan, ia tetap tidak sah untuk dibawa ke anugerah Puskas.
4) Gol mestilah mengikut lunas-lunas fairplay
Pemain yang menjaringkan gol atau terlibat dalam jaringan mestilah menjaga tingkah laku dan sikap masing-masing di atas padang. Dengan erti kata lain, pemain tidak dibenarkan meraikan jaringan dengan melanggar lunas-lunas kemanusiaan.
Ataupun jika pemain didapati gagal atau melanggar peraturan doping, bermain kasar, atau apa sahaja yang melanggar peraturan, maka jaringan tersebut turut tidak layak dicalonkan untuk Anugerah Puskas.
Terdahulu, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, FAM perlu memastikan gol berkenaan memenuhi syarat yang ditetapkan FIFA sebelum mencalonkannya.
Sebelum ini, pemain Pulau Pinang, Faiz Subri mencipta sejarah bola sepak Malaysia dan Asia selepas merangkul Anugerah Puskas FIFA 2016 susulan gol jarak jauh ketika Penang FC menentang Pahang FC dalam saingan Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram