Piala Asia: Jepun pulang awal hitung kekurangan dalam banyak aspek


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Ahad, 04 Feb 2024

Naib juara Piala Asia 2019 itu terpaksa akur apabila tewas di tangan Iran. — Agensi

BOLA Pegun kembali menemui pembaca dengan mengalihkan tumpuan ke aksi Piala Asia 2023 di Qatar. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka pasukan-pasukan mengatasi pelbagai rintangan dalam memburu kejayaan.

DATANGNYA sebagai pilihan juara, Jepun malangnya sudah pulang awal dari Piala Asia Qatar. Mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan Samurai Biru kali ini, ketua jurulatihnya, Hajime Moriyasu, mengakui pasukannya masih perlu terus meningkat dalam banyak aspek seusai dibenam Iran 2-1 dalam suku akhir malam tadi (Sabtu).

Jepun adalah naib juara pada 2019 dan di sebalik tiba selaku pilihan hangat untuk melanjutkan empat kejuaraan terdahulu, mereka tidak pun terlalu meyakinkan ramai di Qatar sehingga terkeluar dalam kekalahan dramatik kepada satu sepakan penalti Iran dalam waktu kecederaan.

“Pertama sekali, saya mahu ucapkan tahniah kepada pemain-pemain Iran dan staf kejurulatihan mereka. Malangnya kami terpaksa meninggalkan kejohanan ini seawal peringkat suku akhir lagi.

“Saya berasa terkilan buat penyokong kami dan semua yang terbabit dalam bola sepak Jepun,” kata Moriyasu yang membawa Jepun ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2022.

Jurulatih itu juga kesal atas kegagalan pasukannya menghadirkan momen lebih menggembirakan buat mangsa gempa bumi di Jepun baru-baru ini.

BACA LAGI: Bintang tercicir skuad Piala Asia Jepun pilih The Rhinos sebab Kim Swee

WhatsApp Image 2024-02-04 at 15.14.10

Moriyasu akui pasukannya masih banyak perlu diperbaiki dalam pasukannya. — Agensi

“Saya berasa bertanggungjawab atas keputusan ini,” tambah Moriyasu yang dijangka menghadapi kritikan sekembali ke tanah air atas kegagalannya mengemudi pasukan mara lebih jauh.

"Staf dan pemain-pemain saya telah memberikan segala-galanya. Semua telah melakukan persiapan sehabis daya masing-masing terhadap kejohanan kali ini,” tambah Moriyasu yang menjadi ketua jurulatih Jepun sejak 2018.

“Kami bolos sekurang-kurangnya satu gol dalam setiap perlawanan. Jika anda tidak mampu mengelakkan daripada bolos, anda tidak mampu menang. Kami banyak menderita dalam permainan terbuka dan set piece hari ini. Mereka mengenakan tekanan dan kami tidak mampu membendungnya.

“Tapi ia bukan hanya mengenai barisan pertahanan. Kami sepatutnya menjaringkan gol kedua kami yang harus mengubah keadaan. Kami tidak dapat memenangi bola kedua di bahagian tengah padang,” kata Moriyasu yang membawa Samurai Biru ke final edisi 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Segala-galanya berjalan baik buat Jepun sebelum itu dengan mendahului pada separuh masa pertama daripada usaha solo Hidemasa Morita pada minit ke-28 tapi mereka gagal mengekalkan dominasi pada separuh masa kedua.

Sebaliknya, Iran menggandakan asakan dalam babak kedua, menghujani pintu gol Jepun dengan 17 percubaan, dan kesungguhan mereka membuahkan hasil apabila Mohammad Mohebbi menyamakan kedudukan dan Alireza Jahanbakhsh menyempurnakan penalti dalam masa kecederaan.

Ketua Jurulatih Iran, Amir Ghalenoei, pula memilih untuk menghentam media negaranya dengan menganggap sesetengah kritikan mereka tidak pun perlu selepas dia mengambil alih pasukan kebangsaan 11 bulan lalu.

WhatsApp Image 2024-02-04 at 15.15.26

Ghalenoei (kiri) dilantik semua menjadi pengendali Iran pada Mac 2023. — Agensi

Ghalenoei dilantik untuk tempoh keduanya pada Mac tahun lalu selepas mengemudi Iran ke suku akhir Piala Asia 2007 tapi kali ini maju setapak lagi ke separuh akhir selepas kejayaan menyingkirkan Jepun itu.

Jurulatih berusia 60 tahun itu yang menggantikan Carlos Queiroz, mengharungi rentetan tanpa kalah dalam 16 perlawanan sejak mengambil alih tapi dipersoalkan tahun lalu apabila Iran menyertai kejohanan persahabatan seperti Kejohanan Antarabangsa Jordan dan Piala Negara-Negara CAFA.

“Semua orang harus mempercayai jurulatih warga Iran. Kami memiliki ramai jurulatih Iran yang bagus tapi tidak dapat menembusi ke Eropah kerana situasi politik Iran,” kata Ghalenoei yang menerima penghormatan dalam sidang medianya.

"Sepanjang 11 bulan lalu, media Iran mengkritik kami kerana menyertai Kejohanan Antarabangsa Jordan dan Piala Negara-Negara CAFA. Tapi anda dapat lihat daripada lapan pasukan dalam suku akhir (di Qatar), lima adalah daripada kejohanan itu. Tiga pasukan daripada kejohanan berkenaan layak ke separuh akhir.

"Saya tidak katakan kritikan tidak bagus tapi sesetengah orang cuba musnahkan pasukan kebangsaan sepanjang 11 bulan lalu. Itu tidak baik dan saya mahu ucapkan terima kasih kepada mereka yang menyokong kami.”

BACA LAGI: Piala Asia: Jepun laungkan amaran Samurai Biru akan tampil lebih perkasa

WhatsApp Image 2024-02-04 at 15.14.09

Antara momen perlawanan Iran menentang Jepun pada Sabtu. — Instagram/Iran

Skuad kendalian Ghalenoei menjuarai kejohanan julung-julung kali anjuran Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) pada Jun lalu itu dengan mengalahkan Uzbekistan dalam final.

Iran kemudian menang kejohanan empat negara di Jordan pada Oktober apabila mereka menundukkan Qatar dalam final kejohanan itu yang turut menampilkan Jordan dan Iraq.

Iran seterusnya akan berhadapan dengan tuan rumah, Qatar, dalam separuh akhir Piala Asia pada Rabu ini (11 malam waktu tempatan).

“Di antara Qatar dan Uzbekistan, kedua-duanya tiada beza buat kami kerana kami telah menghadapi kedua-duanya dalam 11 bulan ini.

“Sebelum pusingan kalah mati ini, ramai yang mencadangkan agar kami mengubah laluan kami untuk ke final (bagi mengelakkan pasukan-pasukan utama dalam Piala Asia) tapi kami cukup berani untuk menentang sesiapa saja. Kami menewaskan kesemua mereka hingga ke peringkat ini,” katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram