Dua pemain 'hilang' muncul di JDT


  • Podium
  • Ahad, 28 Jan 2024

JDT mendapatkan dua bintang daripada Pahang Rangers. — JDT Futsal

MUSIM baharu untuk saingan ulung futsal negara, Malaysian Premier Futsal League (MPFL) belum lagi bermula, tetapi sudah muncul drama hangat melibatkan dua pasukan.

Sebelum ini, juara bertahan MPFL, Pahang Rangers dilaporkan mengalami situasi dimana dua pemain mereka iaitu Ridzwan Bakri dan Mahadir Harahap dilaporkan 'hilang' untuk satu tempoh.

Tempoh mereka dikatakan 'hilang' itu adalah apabila mereka tidak menyertai sesi latihan bersama-sama Pahang Rangers terutamanya apabila musim baharu MPFL semakin hampir.

Akan tetapi, misteri tersebut sudah terjawab apabila Ridzwan dan Mahadir kini telah menyertai pasukan baharu iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT).

BACA LAGI: Pernah berbakti di bumi Hang Tuah, pivot Brazil pilih Pahang jadi destinasi tukar angin

BACA LAGI: [VIDEO] Pengadil lenjan peninju tak reti duduk diam

JDT yang tumpas kepada Pahang Rangers dalam perebutan takhta MPFL musim lalu, bertindak mendapatkan dua bintang daripada pasukan tersebut bagi menguatkan pasukan.

Perpindahan kontroversi itu nyata mendapat perhatian semua pihak apabila JDT memilih untuk mendapatkan Ridzwan dan Mahadir yang merupakan tulang belakang kejayaan Pahang Rangers pada musim lalu.

Menurut laman Perkembangan Bolasepak Semasa di Facebook, JDT dilaporkan membayar harga tebus kontrak melibatkan Ridzwan dan Mahadir untuk membawa mereka ke Johor.

Terdapat perbincangan melibatkan kedua-dua pihak, namun begitu mereka bersetuju untuk tidak memberitahu jumlah tebus kontrak tersebut.

Tebus kontrak terpaksa dilakukan kerana kedua-dua pemain masih lagi mempunyai kontrak bersama Pahang Rangers. Sebagai rekod, kontrak Ridzwan akan berakhir pada 2025. Sementara kontrak Mahadir pula akan tamat pada 2027.

Modus operandi yang serupa dilakukan oleh JDT dalam saingan Liga Super kita telah diluaskan ke kancah MPFL. Sebelum ini, mereka turut mendapatkan bintang Selangor TOT United iaitu Helio Neto bagi menguatkan pasukan.

Perkara ini pasti kurang disenangi oleh pengendali Pahang Rangers iaitu Gerard Casas. Namun begitu, dia pastinya mempunyai perancangan lain untuk memastikan pasukannya kekal ampuh dan boleh mempertahankan kejuaraan.

Pahang Rangers sebelum ini telah mendapatkan Felipe de Souza yang merupakan bekas pemain Melaka United FC pada 2017. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram