Jadi rebutan 3 trio Utara Liga Super, Syafiq Ahmad dinasihat jangan silap pilih nanti risau tersangkut gaji


  • Podium
  • Ahad, 04 Feb 2024

Syafiq (tengah) dilaporkan bakal meninggalkan JDT selepas kurang meraih minit permainan bersama kelab itu musim ini. — Facebook/JDT

WALAUPUN Johor Darul Takzim (JDT) belum memberi sebarang kenyataan rasmi mengenai masa depan penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad, namun sudah banyak kelab Liga Super menanti untuk merekrut khidmat pemain itu.

Dengan jendela perpindahan yang sedang berlangsung, saham penyerang Harimau Selatan itu meningkat di Utara tanah air apabila tiga kelab gergasi iaitu Penang FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Perak FC difahamkan sedang berlumba-lumba mendapatkan khidmatnya bagi memperkuatkan jentera serangan masing-masing.

Memetik laporan Stadium Astro, bekas pemain kebangsaan, Asmawi Bakiri berkata, penyerang berusia 28 tahun itu harus menentukan hala tuju kariernya dengan tepat untuk kelangsungan kerjayanya.

Asmawi bagaimanapun menasihatkan agar Syafiq memikirkan kestabilan kelab susulan masalah kewangan juga bakal memainkan peranan selepas dia tidak menyambung kontrak dengan Harimau Selatan.

Senada dengan bekas tonggak negara itu, banyak penyokong bola sepak turut meluahkan perkara sama iaitu menasihatkan agar pemain kelahiran Bayan Lepas, Pulau Pinang itu memilih kelab stabil yang akan menggunakan khidmatnya.

BACA LAGI: Lupakan Kedah dan Penang, Syafiq Ahmad patut ke Perak demi kelangsungan kerjaya

syafiq 1

Syafiq sebelum ini salah satu penyerang utama negara dengan sudah menjaringkan 10 gol dalam 37 penampilannya sejak 2017.

“Jangan silap pilih saja. Sebab masih di JDT hanya saingan kesebelasan utama saja jadi rebutan. Tapi setakat bonus, gaji dan kebajikan pemain terbaik. Di pasukan yang bakal dipilih, mungkin akan kerap main tapi kena kaji betul-betul. Silap merana macam kawan-kawan lain,” kata penyokong, Mohd Farhan.

“Bagi aku lah, elok Syafiq main ke Penang FC atau Perak FC,” tambah seorang lagi penyokong, Syam Along.

BACA LAGI: Lupakan Kedah, 3 sebab Syafiq Ahmad perlu ke Terengganu

Walau apapun keputusan Syafiq, penghijrahan ke kelab lain sememangnya perlu berlaku susulan kerjaya bola sepaknya kian malap apabila dalam dua tahun kebelakangan ini dia menghadapi isu kurang mendapat minit permainan bersama JDT dek lambakan penyerang import berkualiti di kem kelab Selatan tanah air berkenaan.

Malah, dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim sebelum ini memberi gambaran penyerang naturalisasi baharu, Romel Morales akan menyarung jersi Harimau Selatan musim depan, ia sekali gus menambah kesukaran buat Syafiq untuk terus meraih tempat dalam skuad utama JDT selepas ini.

Untuk rekod, Syafiq hanya merekodkan 11 penampilan dalam kesemua pertandingan kian kehilangan tempatnya dalam skuad Harimau Malaya yang bakal bersaing dalam Piala Asia tahun depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram