KEPUTUSAN seri 3-3 melibatkan Malaysia dengan Korea Selatan dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Asia 2023 masih lagi menjadi bualan hangat.
Ia menjadi perbualan hangat bukan saja di Malaysia malah di Korea Selatan. Hal ini kerana, majoriti penyokong Pahlawan Taeguk begitu kecewa apabila pasukan kendalian Jurgen Klinsmann gagal menewaskan Harimau Malaya.
Mereka berpendapat yang Klinsmann tidak serius dalam usaha untuk memastikan Korea Selatan menjadi juara kumpulan E. Malah, pada perlawanan tersebut, dia dilihat bersantai-santai saja di bangku simpanan.
Tidak seperti Kim Pan-gon yang sering berdiri di kawasan teknikalnya memberikan arahan, Klinsmann dilihat lebih tenang dengan dia hanya duduk saja sambil melihat Son Heung-min dan rakan-rakannya bertarung menentang Malaysia.
Kemuncak kecaman terhadap Klinsmann muncul apabila dia dilihat seolah-olah gembira melihat pasukannya gagal menang bertemu Malaysia.
BACA LAGI: Semakin hilang kasih sayang fans, 3 pemain patut undur diri dari kelab lama
Jaringan Romel Morales (tengah) memusnahkan peluang Korea Selatan untuk mendapatkan tiga mata. — FAM
BACA LAGI: Demi negeri tercinta, 3 legenda ini pernah tolak tawaran lumayan
Hal ini kerana, ketika Romel Morales menjaringkan gol penyamaan pada masa tambahan separuh masa kedua, Klinsmann dilihat tersenyum melihat detik indah Harimau Malaya itu.
Kecaman itu timbul kerana sebelum itu, dia dilihat seperti tidak gembira apabila Son menjaringkan gol ketiga Korea Selatan. Pada waktu itu, Korea Selatan seolah-olah hampir menang.
Andaian terbesar yang diberikan terhadap Klinsmann adalah dia dikatakan gembira kerana dengan keputusan seri tersebut, Korea Selatan dapat mengelak bertemu Jepun di pusingan 16 pasukan terbaik namun dia menafikannya.
Sebaliknya, pengendali dari Jerman itu berasa kecewa pasukannya gagal menewaskan Malaysia yang berada di ranking ke-130 dunia.
"Saya bukan tersenyum kerana kami berjaya mengelak daripada bertemu Jepun di pusingan 16 pasukan terbaik. Sebaliknya, saya senyum kerana tak percaya dengan apa ditonjolkan oleh para pemain.
"Saya tak sangka yang para pemain akan biarkan perlawanan berakhir dengan seri selepas mendominasi sebahagian besar pertarungan," jelas Klinsmann.
Walaupun tidak akan berjumpa Jepun di pusingan 16 terbaik, Klinsmann dan Korea Selatan masih berdepan tugas sukar apabila akan bertemu Arab Saudi yang dikendalikan oleh Roberto Mancini pada Rabu.
Jika mereka kalah kepada Arab Saudi, Korea Selatan dijangka akan gigit jari kerana penantian panjang untuk menjulang Piala Asia akan berterusan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram