PASTINYA penyokong tanah air tidak sabar untuk menyaksikan saingan Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2024 berikutan banyak kejutan yang akan ditampilkan oleh setiap pasukan.
Antara kejutan yang sering dinantikan oleh peminat adalah kemasukan pemain import atau pemain baharu dalam sesebuah kelab.
Johor Darul Takzim (JDT) antara pasukan yang terawal mengumumkan beberapa wajah baharu yang sudah dibawa masuk bagi musim 2024 iaitu Jalil Elias dan dan Francisco Geraldes.
Meskipun saingan Liga M akan membuka tirainya pada April nanti, terdapat beberapa nama yang ditolak oleh penyokong kelab masing-masing.
Berikut Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang patut undur diri dari kelab lama.
Meskipun sudah menandatangani kontrak bersama Gergasi Merah, namun kehadiran Yan tidak direstui penyokong. — Facebook/Selangorfc
1) Khairulazhan Khalid
Khairulazhan Khalid, nama yang tidak asing lagi dalam kem Selangor FC apabila sudah menyarung jersi Gergasi Merah hampir lapan tahun bersama kelab tersebut.
Meskipun antara pemain yang lama menabur bakti bersama Gergasi Merah, penyokong beranggapan bahawa kontrak Khairulazhan tidak patut disambung.
Ia berikutan selepas Khairulazhan atau mesra dengan panggilan Yan itu sering menampilkan aksi yang kurang memberangsangkan.
Bukan itu sahaja, Yan juga dianggap tidak menunjukkan sebarang peningkatan dari segi momentum dan corak permainan di atas padang.
Untuk rekod, sepanjang diberi tugas untuk menjaga pintu gawang Gergasi Merah, Khairul Azhan sudah dibolosi sebanyak 19 kali selepas 17 perlawanan Liga M berlangsung.
Hanya menghuni bangku simpanan, ramai penyokong mahu Ashar tidak disambung kontrak bersama Tok Gajah. — Facebook/SriPahangfc
2) Ashar Al Aafiz
Berusia 28 tahun, Ashar Al Aafiz antara pemain pertahanan yang hanya memanaskan bangku simpanan.
Sekiranya pihak pengurusan Sri Pahang FC masih mengekalkan khidmat Ashar pastinya ramai penyokong tidak bersetuju dengan perkara tersebut.
Hal ini kerana, meskipun memiliki ketinggian 1.70 meter, Ashar antara pemain pertahanan yang sering bergelut dengan melakukan kesilapan mudah dalam menyekat gerakan pihak lawan.
Untuk rekod, Ashar hanya diturunkan sebanyak sembilan perlawanan dalam saingan Liga M musim 2023.
Sering diturunkan namun penyokong berasakan Fayadh perlu berhijrah ke kelab lain. — Facebook/KDAFC
BACA LAGI: Aksi Piala Asia impian kedua Brendan Gan selepas pulih kanser
3) Fayadh Zulkifli
Fayadh Zulkifi merupakan pemain yang beraksi untuk pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC di bahagian sayap kiri pada musim lepas.
Penyokong pasukan Hijau Kuning berasakan pemain berusia 25 tahun itu perlu berhijrah ke kelab lain untuk mengembangkan bakatnya kerana prestasinya bersama skuad Sang Kenari tidak memberangsangkan.
Meskipun sudah beraksi sebanyak 24 perlawanan musim lepas dalam saingan Liga Super namun Fayadh tidak menunjukkan impak positif.
Ia terbukti apabila pemain muda tersebut gagal mencetak gol mahupun assist selama penampilannya dalam saingan Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram