Ten Hag bakal ikut jejak Klopp, Xavi?


  • Podium
  • Ahad, 28 Jan 2024

Masa depan Erik ten Hag di Manchester United kini menjadi tanda tanya. — Agensi

MASA depan pengendali Manchester United, Erik ten Hag dikatakan berada dalam bahaya terutamanya selepas mengharungi musim yang suram.

Dengan tersingkir daripada saingan Eropah dan menduduki kedudukan pertengahan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), Ten Hag berharap dia dapat membawa pulang satu piala di akhir musim.

Piala yang tinggal adalah FA Cup dengan United akan berdepan Newport County di pusingan keempat.

Bercakap mengenai masa depannya, Ten Hag mengelak untuk bercerita dengan lebih mendalam berkenaan perkara tersebut. Hal ini kerana, dengan kemasukan pemilik saham minoriti baharu iaitu Sir Jim Ratcliffe mungkin mengubah masa depan pengurus tersebut.

"Kami ada bercakap mengenai banyak perkara dan saya tidak mahu pergi lebih mendalam mengenai perkara itu, terutamanya perkara yang dianggap peribadi.

"Pertama, perkara pertama yang paling penting adalah berkenaan kelab. Ia adalah berkenaan kelab, mengenai pasukan dan bagaimana kita perlu bekerja dengan standard tinggi untuk mencapai sasaran (ditetapkan). Ia bukanlah berkenaan mana-mana individu," jelas Ten Hag.

BACA LAGI: Program Mencari Ramli, last-last rupanya terjumpa Mickey

skynews-manchester-united-sir-jim-ratcliffe_6306543

Sir Jim Ratcliffe dikatakan akan tentukan masa depan Ten Hag di United. — Agensi

BACA LAGI: Aksi Malaysia-Korea diundi perlawanan terbaik peringkat kumpulan Piala Asia

Walaupun masa depannya seolah-olah berada di hujung tanduk, tetapi Ten Hag bersedia untuk membuktikan kehebatannya sebagai pengurus United.

Sebagai rekod, kontrak Ten Hag bersama-sama United akan tamat pada musim depan.

"Apabila anda terlibat dalam bola sepak bertahap tinggi, saya rasa anda tahu tentang keperluan untuk membuktikan kehebatan anda setiap hari.

"Dan perkara itu terpakai buat semua yang terlibat dalam kelab ini," ujar Ten Hag.

Masa depan Ten Hag mula tergantung terutamanya selepas berita pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dan pengendali Barcelona, Xavi Hernandez akan meninggalkan kelab masing-masing pada akhir musim ini.

Jika Ten Hag turut menuju pintu keluar, pastinya penyokong United akan teruja dan tertanya-tanya mengenai penggantinya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram