MISI Malaysia dalam saingan Piala Asia 2023 telah pun selesai. Para pemain akan pulang ke negara dan mereka akan berehat sebentar sebelum saingan Liga Super 2024/2025 bermula.
Berakhir satu misi maka bermulalah yang baharu. Setelah berjaya layak ke Piala Asia secara merit, rentak itu haruslah diteruskan. Hentian seterusnya, Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Kerja itu bermula sekarang, dengan set pemain sedia ada boleh memastikan Malaysia menempah tempat ke kejohanan tersebut dengan melayakkan diri ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Akan tetapi, apabila tiba masanya, Malaysia akan kehilangan beberapa pemain dek kerana faktor umur mereka pada waktu itu sudah semakin berusia. Sebagai contoh, Brendan Gan, Junior Eldstal dan La'Vere Corbin-Ong antara pemain yang dijangka tidak bersama Malaysia jika layak ke Piala Asia 2027.
Dengan Piala Asia B-23 akan diadakan pada April, inilah masa untuk kita melihat siapa bintang masa depan yang bakal menjadi sandaran Harimau Malaya jika layak ke Arab Saudi. Analisis ringkas Majoriti akan menyingkap tiga nama berpotensi itu:
1. Sikh Izhan Nazrel
Masa depan penjaga gol Malaysia dilihat berada dalam keadaan baik. Malah, ketika ini kita mempunyai barisan penjaga gawang yang hebat seperti Syihan Hazmi dan Suhaimi Husin.
Akan tetapi, nama Sikh Izhan tidak boleh diketepikan. Penjaga gol ketiga Malaysia di Piala Asia 2023 itu mampu mengetuai pintu gol negara di masa depan selain Azri Ghani dan Azim Al-Amin.
Dengan berpeluang merasai sendiri getirnya kejohanan tertinggi Asia itu, tidak terkejut jika Juan Torres Garrido memanggilnya untuk menjaga gol Malaysia di Qatar pada April kelak.
Jika kepercayaan diberikan, Sikh Izhan berpeluang menonjolkan bakatnya sambil memberi isyarat yang dia adalah pewaris tempat yang dikuasai Syihan sekarang.
BACA LAGI: Dominic Tan ampuh di Piala Asia, ramai patut minta maaf lepas keji CB 'solid' Sabah
Sikh Izhan antara tiga penjaga gol Malaysia di Piala Asia 2023. — FAM
2. Ubaidullah Shamsul
Antara pemain pertahanan muda paling mengujakan di Malaysia ketika ini, nama Ubaidullah juga perlu diberikan perhatian sebagai bintang masa depan Harimau Malaya.
Muncul sebagai antara prospek besar pertahanan tengah baka tempatan, jika Ubaidullah meneruskan persembahan cemerlangnya bersama-sama kelab dan negara, tidak hairan sekiranya pemain tersebut bakal menguasai pertahanan Harimau Malaya kelak.
Piala Asia B-23 boleh menjadi pentas Ubaidullah menonjolkan persembahan terbaiknya sekali gus menarik perhatian semua yang dialah pertahanan tengah masa depan Malaysia.
Ramai pemain yang bersaing untuk tempat itu seperti Harith Haiqal dan Feroz Baharuddin. Oleh itu, Ubaidullah haruslah meningkatkan permainannya untuk mengukuhkan tempat di skuad kebangsaan.
BACA LAGI: Ledak gol sampai Kim Min-jae terduduk, Faisal dipilih masuk senarai TOTM Piala Asia
Ubaidullah merupakan pertahanan muda berpotensi tinggi negara. — Agensi
3. Fergus Tierney
Antara salah seorang bintang dalam skuad bawah 23 tahun (B-23) Malaysia sekarang, Tierney dilihat mempunyai potensi untuk menjadi jeneral tengah negara di Piala Asia yang seterusnya.
Dengan versatilnya dia sebagai pemain yang turut boleh beraksi sebagai penyerang, Tierney mampu menjadi pemain utiliti yang akan hadirkan bahaya kepada lawan.
Pertarungan di Qatar pada April bakal menjadi ruang terbaik untuk Tierney membuktikan statusnya sebagai bintang masa depan Harimau Malaya. Dengan dia dianggap sebagai salah seorang pemain utama skuad muda sekarang, tumpuan kepadanya pastinya melebihi pemain lain.
Tierney (tengah) boleh bermain sebagai penyerang. — Facebook/FAM
Kejohanan Piala Asia B-23 bakal menjadi detik melihat siapakah bintang masa depan bagi tiap-tiap negara, dan pastinya tiga nama yang disenaraikan tadi bakal menjadi sandaran Malaysia.
Seandainya tiada kecederaan serius dan karier bergerak seperti diharapkan, kita akan saksikan nama-nama ini mengetuai Harimau Malaya jika layak ke Piala Asia tiga tahun dari sekarang.
Namun begitu, pembangunan bakat itu haruslah diatur dengan baik. Jangan biarkan potensi mereka terhenti di situ, oleh itu kelab perlulah bertanggungjawab memastikan bakat mereka terjaga dengan baik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram