Penantian 38 tahun berakhir, Melaka julang Piala Emas Khir Johari


  • Podium
  • Sabtu, 27 Jan 2024

Pasukan Melaka meraikan kejayaan mereka meraih Piala Emas Khir Johari pada Sabtu. — Facebook/PSM

KEJOHANAN terulung sepak takraw negara, Piala Emas Khir Johari kini mempunyai juara baharu selepas perlawanan akhir edisi 2024 diadakan pada Sabtu.

Dalam aksi melibatkan Melaka dan Pulau Pinang itu, kemenangan memihak Melaka apabila mereka berjaya menewaskan pasukan Utara itu dengan keputusan 21-13, 21-15 dalam aksi pertama.

Memetik laporan Stadium Astro, kemenangan Melaka berhasil daripada kecemerlangan yang ditampilkan oleh trio Syahir Rosdi, Muqlis Borhan dan Khairul Zaman berjaya membuatkan pasukan tersebut memperoleh kemenangan straight set terhadap Pulau Pinang pada aksi pertama.

Pulau Pinang bagaimana pun memberikan saingan sengit apabila berjaya mengutip mata pada pertarungan seterusnya.

BACA LAGI: Ramai fans lelaki ‘backup’ Intan Serah

BACA LAGI: Piala Asia: Socceroos dibuai keyakinan tanpa banyak cetus keriuhan

Dalam aksi seterusnya, Pulau Pinang berjaya menyamakan kedudukan apabila memperoleh kemenangan 22-20 dan juga 21-18 untuk mengheret perhitungan ke bahagian seterusnya.

Ketika aksi melibatkan regu ketiga, Melaka menunjukkan taring mereka untuk membawa pulang kejuaraan. Dalam pertarungan tersebut, Melaka berhasil memperoleh kemenangan straight set 21-17, 21-26 untuk bergelar juara.

Kemenangan yang diraih Melaka itu cukup signifikan buat mereka apabila penantian panjang selama 38 tahun berjaya ditamatkan hasil kejayaan menundukkan Pulau Pinang.

Dalam perjalanan menuju kejuaraan, Melaka berjaya menewaskan pasukan seperti Bomba di suku akhir dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada separuh akhir.

Hasil daripada kejuaraan itu, Melaka membawa pulang trofi serta wang kemenangan berjumlah RM30,000. Pulau Pinang pula membawa wang kemenangan bernilai RM15,000. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram