DUA musim lalu, Terengganu FC muncul sebagai salah sebuah pasukan terbaik di pentas domestik apabila menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua selain melayakkan diri ke pentas akhir Piala FA.
Perancangan taktikal daripada bekas pengendali, Nafuzi Zain boleh dikatakan sebagai faktor utama dalam membentuk skuad Sang Penyu menjadi salah sebuah pasukan paling digeruni.
Di samping itu, import berkualiti dalam kelab Pantai Timur itu turut meningkatkan tahap permainan mereka, baik dari segi serangan mahupun pertahanan.
Antara pemain luar negara yang cukup penting dalam skuad Sang Penyu pada ketika itu ialah pertahanan tengah dari Senegal, Pape Diakite yang dibawa masuk pada awal musim.
Ketinggiannya menjadi satu kelebihan untuk memberi perlindungan buat benteng Terengganu FC kerana dia mudah mematahkan serangan serta hantaran daripada pihak lawan.
BACA LAGI: Azam Azmi antara 4 nama 'leaked' tinggalkan TFC, Nafuziball antara destinasi
Diakite tidak lagi terikat dengan mana-mana pasukan setelah dilepaskan HAGL. — Facebook/HAGL
Bagaimanapun, perubahan barisan teknikal menyaksikan bek tengah itu tidak dikekalkan apabila pengendali baharu, Tomislav Steinbruckner memilih untuk mendapatkan import dari Uzbekistan, Sardor Kulmatov.
Jadi, dengan khidmatnya tidak lagi ditagih skuad Sang Penyu, Diakite kemudiannya memilih untuk menyertai kelab Vietnam, Hoang Anh Gia Lai (HAGL) pada awal 2023 yang lalu.
Namun, kehadirannya tidak membawa perubahan positif buat pasukan terbabit yang berada di tangga tercorot selepas lapan perlawanan dengan pemain berusia 31 tahun itu hanya merekodkan dua penampilan.
Peluang terhad itu kemudiannya menyaksikan kontrak Diakite ditamatkan November lalu dengan dia kini dilaporkan tidak beraksi bersama mana-mana pasukan berdasarkan laman sesawang transfermarkt.
Oleh itu, ia membuka peluang buat kelab Liga Super untuk menyambar khidmatnya dengan pengalamannya beraksi buat Terengganu FC dua musim lalu memberi gambaran akan kesesuaiannya dalam landskap bola sepak tanah air.
Melihat kepada situasi tersebut, terdapat tiga pasukan yang boleh membawa masuk bek tengah tinggi itu untuk mengukuhkan lagi benteng pertahanan masing-masing.
1. Perak FC
Rekod pertahanan skuad The Bos Gaurus (TBG) musim lalu adalah cukup merisaukan apabila mereka dibolosi sebanyak 55 kali dalam 26 aksi Liga Super dengan ia merupakan catatan ketiga terburuk antara 14 pasukan.
Meskipun mempunyai Sunday Afolabi dan Jesper Nyholm sebagai import pertahanan, prestasi tidak menentu menyaksikan mereka terlalu mudah ditembusi pihak lawan.
Jadi, dalam usaha mengukuhkan lagi benteng pasukan, Perak FC perlu membawa masuk Diakite yang mempunyai reputasi cukup baik sebagai bek tengah import beberapa tahun kebelakangan ini.
BACA LAGI: Nama arkitek Kedah dalam list ke Terengganu bersama duo JDT
Nyholm tidak membawa perubahan ketara bagi benteng pertahanan skuad TBG. — Facebook/Perak FC
Statusnya yang merupakan ejen bebas tidak akan memberikan tekanan dari segi kewangan buat pasukan itu untuk mendapatkan khidmatnya kerana mereka tidak perlu membuat bayaran pampasan buat mana-mana pihak.
Selain itu, skuad TBG juga tidak perlu khuatir akan kebolehannya untuk menyesuaikan diri apabila tempoh singkatnya bersama Terengganu FC sudah cukup untuk menjawab persoalan itu.
Tetapi, masih terdapat persoalan mengenai sikap keterbukaan kelab Utara tanah air itu dalam menyambar khidmat pemain Afrika berkenaan memandangkan kontrak Jesper difahamkan tidak akan tamat untuk beberapa bulan lagi.
2. Kedah Darul Aman FC
Baru-baru ini, laporan media luar negara menyatakan bek kelahiran Serbia, Bojan Ciger akan meninggalkan Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk menyertai kelab Uzbekistan, FC Neftchi Fergana.
Kehilangan pemain bertubuh sasa itu pastinya akan membuatkan benteng skuad Sang Kenari semakin goyah musim depan apabila kehadirannya cukup penting buat mereka sepanjang 2023.
Jadi, dalam usaha memastikan prestasi memberangsangkan pasukan dapat diteruskan, KDA FC perlu segera mendapatkan bek tengah import pada jendela perpindahan kali ini.
Kehilangan Bojan pasti akan memberi impak besar buat benteng pertahanan skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Salah seorang calon terbaik untuk menyertai pasukan kendalian Nafuzi pastinya Diakite yang merupakan bekas anak didiknya ketika kedua-dua mereka bersama-sama di Terengganu FC.
Kesefahaman antara satu sama lain boleh menjadi faktor utama untuk kelab Utara tanah air tersebut mendapatkan khidmatnya bagi menutup ruang yang ditinggalkan Bojan.
Sekiranya skuad Sang Kenari dapat menyambar khidmatnya musim depan, tiada sebab untuk penyokong tidak yakin akan kebolehan mereka merebut slot ke pentas Asia.
Di samping itu, pengalaman Diakite membantu Terengganu FC ke final Piala FA 2022 boleh dicurahkan dalam misi KDA FC menamatkan penantian menjulang trofi.
3. Terengganu FC
Seperti dinyatakan di atas, kecenderungan Tomislav mendapatkan Kulmatov menyaksikan Diakite terpaksa meninggalkan Terengganu FC meskipun dia merupakan nadi utama pertahanan pasukan.
Bagaimanapun, keputusan mendapatkan bek tengah dari Uzbekistan itu seolah-olah tidak membawa manfaat ketara buat pasukan Pantai Timur itu yang berada di kedudukan keenam Liga Super 2023.
Rekod pertahanan mereka juga boleh dikatakan lebih teruk berbanding 2022 apabila skuad Sang Penyu dibolosi sebanyak 34 kali berbanding 20 ketika mereka masih memiliki Diakite.
Kulmatov tidak akan lagi bersama skuad Sang Penyu musim depan. — Facebook/Terengganu FC
Jadi, dengan pasukan tersebut sudah memilih untuk menamatkan khidmat Kulmatov, mereka perlu mencari seorang pemain pertahanan baharu dan bek tengah dari Senegal itu merupakan calon terbaik.
Tetapi, kehadiran bek tengah muda, seperti Safwan Mazlan dan Ubaidullah Shamsul Fazili hanya akan menutup peluang buat Diakite membuat kepulangan pada jendela perpindahan kali ini.
Pengumuman pihak pengurusan Terengganu FC yang mahu mengurangkan kos operasi pasukan untuk saingan 2024/25 juga akan merumitkan perkara itu meskipun rata-rata daripada penyokong mengharapkan kehadiran Diakite. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram