SETIAP jendela perpindahan berlangsung, kehadiran bintang import baharu yang pertama kali tiba di tanah air akan mendapat tumpuan lebih dengan rata-rata penyokong teruja untuk menyaksikan skil mereka.
Mana tidaknya, berita perpindahan import baharu akan hadir dengan reputasi berbeza apabila sebelum ini ada di antara mereka tiba berbekalkan pengalaman beraksi di kelab ternama Eropah.
Selain ketibaan pemain import baharu, ada juga kategori penyokong yang menantikan bekas bintang kegemaran untuk kembali menabur bakti ke kelab lama kerana percaya khidmat mereka akan membantu memacu zaman kegemilangan pasukan.
'Bagai sirih pulang ke gagang', demikian situasi sesuai untuk menggambarkan bekas pemain kembali ke kelab lama selepas beberapa tahun berkelana bersama majikan lain.
Kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang dikatakan akan bersatu kembali dengan kelab lama;
1) Manuel Ott
Ott dikaitkan akan kembali semula ke Terengganu. — Facebook/TFC
Belum sempat menjulang sebarang trofi bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC, Manuel Ott yang juga ketua pasukan Sang Kenari dikhabarkan akan membuat pusingan U kembali ke Terengganu FC (TFC).
Meskipun Sang Kenari pada awalnya memaklumkan bahawa kontrak pemain kebangsaan Filipina bersama Kedah itu belum berakhir namun ia tidak menghentikan sebarang khabar angin yang terus mengaitkannya dengan pasukan lama.
Terutamanya apabila ada desas-desus mengatakan bahawa kehadiran Ott ke pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner adalah untuk menggantikan khidmat Habib Haroon yang dikaitkan pula dengan skuad Hijau Kuning.
Menerusi laman Transfermarkt, menyaksikan nama arkitek berusia 31 tahun itu diletakkan sebagai antara pemain baharu yang akan menyertai skuad Sang Penyu pada musim 2024/2025 ini bersama dengan duo Johor Darul Takzim (JDT), Akhyar Rashid dan Safawi Rasid
Ott dikategorikan sebagai antara import kegemaran skuad Sang Penyu pada musim 2022 apabila dia memainkan watak sebagai anchor pasukan untuk 32 perlawanan dan mencetak enam gol serta tujuh hantaran bantuan.
2) Brendan Gan
Brendan merupakan figura yang cukup berpengaruh buat skuad Gergasi Merah di dalam dan luar padang. — Facebook/Selangor FC
Walaupun sudah membantu Selangor FC ke pentas Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2), ketua pasukan, Brendan Gan bagaimanapun dikatakan tidak akan meneruskan perjuangan bersama Gergasi Merah pada musim baharu ini.
Memetik laporan media tempatan sebelum ini, pemain kacukan Australia-Malaysia tersebut difahamkan belum menandatangani sebarang lanjutan kontrak bersama Gergasi Merah dan sekali gus memberi ruang kepada kelab lain untuk memburunya.
Brendan yang sudah beraksi selama empat musim untuk Gergasi Merah berkenaan dikaitkan dengan bekas majikannya, Sabah FC iaitu kelab pertamanya memulakan khidmat di saingan Liga Malaysia.
Namun, The Rhinos nampaknya menerima tentangan hangat daripada Sri Pahang apabila baru-bari ini ada laporan mengatakan kelab Pantai Timur itu juga ingin membuka pintu rundingan dengan pemain berusia 35 tahun itu.
Untuk rekod, pemain yang kini sedang bertugas untuk skuad kebangsaan itu merekodkan lapan bantuan gol dan empat jaringan peribadi dalam kesemua pertandingan buat Selangor FC pada 2023.
3) Rizal Ghazali
Kontrak Rizal bersama Sabah telah tamat pada 31 Disember ini. — Facebook/Sabah FC
Pertahanan kanan, Rizal Ghazali memberi dua tahun yang sukar dilupai penyokong Sabah FC apabila pemain berpengalaman itu jarang menampilkan aksi mengecewakan dengan dia bijak mematahkan serangan pihak lawan.
Namun, pemain berusia 31 tahun itu membuat pengakuan akan kembali beraksi bersama kelab berpangkalan di Semenanjung kerana ingin memudahkan urusannya perjalanan pulang ke kampung halaman untuk menemui ibu bapanya yang sakit.
Khabar angin kuat mengatakan Rizal akan kembali ke kampung halaman dengan menyertai skuad Hijau Kuning dan desas-desus berkenaan nampaknya mendapat sambutan hangat daripada penyokong KDA FC.
Selain KDA, Penang FC dan Terengganu FC dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat bekas pemain kebangsaan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram