Berjaya atau tidak? 3 pemain negara berprofil tinggi pernah cuba nasib di luar negara


  • Podium
  • Ahad, 21 Jan 2024

Dari kiri: Norshahrul, Safawi dan Safee Sali merupakan antara pemain yang pernah menimba pengalaman di luar Liga Super.

MELIHAT kepada sejarah dan rekod bola sepak tanah air, tidak ramai daripada pemain negara pernah mencuba nasib di luar negara kerana khuatir sukar untuk menyesuaikan diri.

Walaupun sudah berkali-kali didorong peminat, mereka masih bertegas untuk kekal beraksi dalam Liga Super dan mencipta nama sebagai tonggak pasukan masing-masing.

Ketika ini, antara nama besar yang sering dikatakan sesuai untuk meninggalkan arena bola sepak tempatan ialah penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi dan pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim.

Kebolehan kedua-dua bintang negara itu sememangnya tidak boleh disangkal lagi apabila peranan mereka cukup diperlukan di peringkat kelab mahupun kebangsaan.

BACA LAGI: 'Why not?', penyudah tajam di pentas Asia buat kelab Liga M berebut Supachai

Faisal-Halim-Arif-Aiman-India-FA-Malaysia

Faisal (kiri) dan Arif dikatakan berpotensi untuk berjaya di luar negara.

Namun, pengalaman lalu boleh dikatakan punca mereka memilih untuk menolak peluang itu kerana terdapat beberapa pemain pernah bergelut di liga luar, baik dari segi minit permainan mahupun prestasi.

Antara mereka yang pernah berdepan situasi ialah bekas tonggak Harimau Malaya, Safawi Rasid dan Nazmi Faiz Mansor dengan masing-masing memilih untuk ke Eropah satu ketika dahulu.

Bagaimanapun, masih terdapat beberapa pemain kebangsaan yang tidak gusar dengan cabaran berkenaan apabila memilih untuk bersaing di luar negara dalam karier masing-masing.

Lebih menarik lagi, sebahagian daripada mereka mempunyai pengalaman dalam skuad kebangsaan, sekali gus menceritakan bahawa mereka mempunyai reputasi cukup baik dalam kalangan penyokong.

Melihat kepada rekod lalu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain berprofil tinggi yang pernah beraksi di luar liga domestik dan melihat nasib mereka sepanjang berada di luar negara.

1. Norshahrul Idlan Talaha - Gagal memberi impak

Bekas penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha cukup dikenali dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan kerana pernah menyertai beberapa pasukan Liga Super sepanjang kariernya.

Namun, salah satu kelab yang cukup sinonim dengan pemain itu ialah BG Pathum United di Liga Thailand memandangkan pasukan tersebut adalah satu-satunya kelab luar negara pernah disertainya.

Dia yang disambar skuad The Rabbits selepas menamatkan kontrak bersama Pahang FA pada 2020 bagaimanapun gagal memberi impak terbaik apabila usianya ketika itu sudah mencecah 34 tahun.

BACA LAGI: Akmal Rizal tak terfikir akan kendalikan Penang, teruja bekerjasama dengan 'The Great Merz'

ERYKJCtUEAMIcGv

Mat Yo gagal memberi impak cukup penting buat skuad The Rabbits.

Berdasarkan rekod, Norshahrul atau lebih mesra disapa Mat Yo hanya merekodkan enam penampilan bersama pasukan itu tanpa sebarang jaringan dicatatkannya.

Tetapi, kegagalan itu tidak terlalu dirasai pemain kelahiran Besut, Terengganu tersebut kerana dia berpeluang mencipta nama sebagai pemain tempatan pertama yang menjuarai Liga Thai.

Meskipun gagal memberikan sebarang impak di atas padang, kehadirannya sedikit sebanyak menaikkan reputasi BG Pathum United dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air.

Kini, Norshahrul masih aktif beraksi dalam Liga M3 bersama Harini FT dengan jaringannya membantu pasukan itu menduduki tangga ketiga liga musim lalu.

2. Safee Sali - Disanjung penyokong Indonesia

Selain Norshahrul, seorang lagi penyerang kebangsaan pernah mencuba nasib di luar negara iaitu Safee Sali yang menyertai kelab Indonesia, Pelita Jaya.

Selepas meluangkan empat musim bersama Selangor FA, pemain lincah itu melakukan kejutan apabila memilih untuk mengambil keputusan tersebut yang sekali gus menjadikannya pemain tempatan pertama pernah beraksi di negara berkenaan.

Meskipun hubungan penyokong kedua-dua negara ketika itu tidaklah begitu baik, kehadiran penyerang tersebut masih diraikan kerana mereka cukup teruja melihat kebolehannya.

402477_268673463189978_150839094973416_761779_1459718677_n

Safee Sali menikmati dua musim cukup produktif bersama Pelita Jaya di Indonesia.

Kehebatannya di atas padang terserlah pada musim keduanya apabila dia diberikan peranan kapten oleh bekas pengendali Pelita Jaya, Rahmad Darmawan selepas melihat pengaruh serta pengalamannya yang berharga.

Gandingannya dengan penyerang berdarah kacukan Indonesia-Nigeria, Greg Nwokolo menyaksikan Safee berjaya mengangkat namanya sebagai salah seorang peledak terbaik dengan 20 gol dijaringkannya dalam Liga Indonesia.

Malah, kebolehannya juga dapat disaksikan ketika pemain itu menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan ketika Pelita Jaya berdepan Gresik United dalam aksi di tempat lawan.

Selepas kira-kira dua musim bersama pasukan tersebut, Safee kemudiannya memilih untuk pulang ke tanah air sebelum menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 2012 yang ketika itu baru sahaja dimiliki Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris.

Kini, Safee tidak lagi beraksi secara profesional dengan dia hanya bertugas sebagai pundit selepas menamatkan kariernya bersama Kuala Lumpur (KL) City FC pada 2022.

3. Safawi Rasid - Isu kecederaan menjadi penghalang di Thailand

Seperti dikatakan di atas, Safawi Rasid merupakan salah seorang pemain tempatan yang pernah mencuba nasib di Eropah ketika menyertai kelab Portugal, Portimonense.

Bagaimanapun, langkah itu tidak membuahkan sebarang hasil buatnya kerana dia hanya berada dalam sesi latihan pasukan tanpa sebarang minit permainan direkodkannya bersama skuad senior.

Lebih mengecewakan lagi, pemergiannya itu menyaksikan JDT menemui permata baharu di posisi sayap, Arif Aiman Hanapi yang menyebabkan Safawi kehilangan tempat dalam skuad Harimau Selatan.

6AA302DA-1418-4DE0-B133-FF31C8A58C5D

Karier Safawi dalam Liga Thailand tidak begitu mencuri perhatian.

Situasi yang tercetus pada awal musim 2023 itu membuatkan beberapa pasukan Liga Super berminat untuk mendapatkan khidmatnya secara pinjaman dengan Terengganu FC dikatakan sebagai destinasi terbaik.

Namun, Safawi membuat kejutan apabila memilih untuk menyertai pasukan dari Thailand, Ratchaburi FC yang juga merupakan pasukan luar negara kedua buat penyerang kelahiran Dungun, Terengganu itu.

Tetapi, isu kecederaan dan kecergasan yang dialaminya meranapkan harapan pemain tersebut untuk bersinar sehingga menyaksikannya lebih kerap memanaskan bangku simpanan.

Untuk rekod, Safawi mencatatkan 17 penampilan secara keseluruhan buat skuad The Dragons dalam kesemua pertandingan dengan satu gol dan satu bantuan jaringan dicatatkannya.

Kini, pemain berusia 26 tahun itu sekali lagi dikaitkan dengan perpindahan keluar dari JDT selepas pasukan berkenaan mengumumkan dia akan berkelana dengan status pinjaman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram