PENANG FC selangkah lebih awal mempersiapkan pasukan menjelang musim baharu apabila baru sahaja mengumumkan legenda kelab, Merzagua Abderrazak sebagai Pengarah Teknikal baharu skuad Harimau Kumbang.
Selain kehadiran bekas pemain yang pernah membantu Harimau Kumbang meraih kejuaraan Liga Perdana pada 1998 itu, skuad The Panthers juga mengesahkan lantikan Akmal Rizal Ahmad Rakhli sebagai pengendali rasmi musim ini.
Dua lantikan tersebut memberi gambaran awal bahawa skuad Utara tanah air berkenaan ingin mengubah nasib Penang FC yang semakin 'hilang' dari carta kedudukan teratas liga dalam dua musim sebelum ini.
Persiapan Penang diteruskan lagi dengan khabar angin mengatakan Harimau Kumbang bakal membawa masuk dua pemain dari kelab Lembah Klang untuk memperkukuhkan bahagian serangan dan pertahanan mereka.
BACA LAGI: Akmal Rizal tak terfikir akan kendalikan Penang, teruja bekerjasama dengan 'The Great Merz'
Bekas pemain berusia 57 tahun itu dikenali dengan julukan 'Great Merz' oleh penyokong setia Harimau Kumbang. — Facebook/PenangFC
Berdasarkan ciapan dari pemerhati sukan tanah air, T. Avineshwaran, Khuzaimi Piee dari Selangor FC dan Nabil Ahmad Latpi yang bermain sebagai penyerang sayap PDRM FC pada musim lepas sedang berada dalam radar Harimau Kumbang.
"Pulau Pinang sedang memburu pemain baharu. Difahamkan, Panthers berminat untuk merekrut pemain pertahanan, Ahmad Khuzaimi dan pemain sayap, Nabil Ahmad Latpi.
"Jimmy (Khuzaimi) kini bersama skuad kebangsana untuk Piala Asia dan beraksi di Selangor. Manakala, Nabil adalah salah seorang yang menonjol untuk PDRM pada tahun lepas," kongsinya.
Walaupun Khuzaimi bukan pemain kegemaran di Gergasi Merah namun fizikal dan kemahiran bek tengah itu pastinya akan membantu mengurangkan jumlah bolos Penang FC yang melepaskan 50 gol pada saingan Liga Super 2023.
Khuzaimi (kanan) merupakan sebahagian daripada 26 nama mewakili Malaysia di Piala Asia 2023. — Facebook/SelangorFC
Untuk rekod, musim lalu, Khuzaimi mempunyai peluang yang terhad untuk menonjolkan persembahannya bersama-sama Gergasi Merah. Dalam saingan Liga Super, dia cuma melakukan 11 penampilan selain empat kemunculan Piala FA dan Piala Malaysia.
Manakala, nama Nabil Latpi yang bertugas sebagai pemain sayap kanan PDRM FC sejak musim 2021 pula semakin melonjak apabila pemain berusia 31 tahun itu membantu mencetak lima jaringan gol untuk The Cops pada musim lepas.
Nabil Latpi bukanlah seorang penyerang sayap Liga Super yang sering didendang namun bekas pemain Terengganu itu antara wajah utama membantu The Cops menjuarai Piala Cabaran edisi 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram