TERENGGANU FC (TFC) mempunyai pendekatan sedikit berbeza pada saingan musim depan apabila difahamkan tidak akan menyambung kontrak beberapa pemain termasuk tonggak import bagi saingan 2024.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim menyatakan bahawa khidmat pemain import skuad Penyu mungkin akan dikurangkan daripada sembilan kepada lima orang sebagai langkah penjimatan perbelanjaan kelab.
Hishamuddin berkata, pelaksanaan perkara itu bagaimanapun akan diputuskan selepas perbincangan lanjut dibuat bersama barisan kejurulatihan bagi memastikan ia tidak memberi kesan kepada prestasi skuad Sang Penyu.
Nasib sebahagian pemain tempatan bagaimanapun tidak jauh beza dengan empat import tersebut apabila laporan dari Astro Arena memaparkan beberapa nama tonggak tempatan yang akhirnya ditunjukkan jalan keluar pada musim depan.
Tangkap layar laporan berita dari Astro Arena.
Menerusi tangkap layar laporan tular tersebut, empat tonggak yang terdiri daripada Habib Haroon dan Sardor Kulmatov (pemain import) serta Azam Azmi Murad serta Rahadiazli Rahalim difahamkan tidak lagi menyarung jersi Terengganu.
Manakala, dua nama pemain yang dikatakan bakal memperkukuhkan pasukan Terengganu iaitu Safawi Rasid dan ketua pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Manuel Ott turut terpapar dalam laporan senarai perpindahan pemain 2024 itu.
Sekiranya empat pemain sudah tidak lagi bergelar pemain Terengganu, berikut adalah destinasi yang sedang hangat dikaitkan dengan mereka dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan;
1) Habib Haroon
Habib menyarung jersi nombor 10 bersama Terengganu. — Facebook/TFC
Ketua pasukan skuad Sang Penyu, Habib Haroon sudah mengesahkan bahawa ikatannya bersama Terengganu tidak akan diteruskan pada saingan Liga M pada musim selepas hampir tiga tahun menabur bakti bersama pasukan tersebut.
Habib yang memulakan kariernya di Terengganu pada musim 2021 itu merupakan antara watak penting membawa skuad Penyu ke pentas akhir Piala FA pada 2022 dan perlawanan akhir Piala Malaysia 2023.
Walaupun akan menamatkan kontrak Terengganu pada akhir bulan ini, jeneral tengah berusia 23 tahun itu tidak menolak untuk terus melebarkan karier bola sepaknya dengan beraksi di saingan domestik.
Hasrat pemain kelahiran Bahrain itu untuk terus beraksi di bumi Malaysia nampaknya akan terlaksana selepas khabar angin mengaitkan Habib dengan skuad Hijau Kuning pada musim depan.
Khabar angin berkenaan turut disambut baik oleh penyokong Hijau Kuning kerana ramai beranggapan Habib adalah calon sesuai untuk menggantikan Ott yang difahamkan membuat pusingan U ke Terengganu.
2) Rahadiazli Rahalim
Rahadiazli musim ini banyak beraksi sebagai penjaga gol kedua Terengganu. — Facebook/TFC
Pengendali Terengganu, Tomislav Steinbruckner sebelum ini pernah menggesa agar penjaga gol muda, Rahadiazli Rahalim keluar berhijrah ke pasukan lain berikutan dia bukan lagi pilihan utama untuk menjadi benteng terakhir skuad Sang Penyu.
Saranan tersebut dibuat oleh pengendali kelahiran Croatia itu kerana ingin pemain yang mesra dengan sapaan Abe itu boleh menyelamatkan kariernya dan bukannya hanya memanaskan bangku simpanan.
Musim ini, penjaga gawang berketinggian 1.92 meter berkenaan hanya tampil dalam tujuh perlawanan dengan hanya merekodkan 630 minit dalam aksi Liga Super sepanjang musim dia diturunkan.
Dengan kelebihan ketinggian dan pengalamannya, pasti ramai kelab Liga Super memburu khidmat Rahadi namun antara kelab yang banyak dikaitkan dengan pemain Bawah-23 tahun (B-23) itu ialah Sang Kenari.
Walaupun sekadar desas-desus memeriahkan khabar angin jendela perpindahan namun sekiranya berlaku, reunion semula bersama bekas jurulatihnya iaitu Nafuzi diramal boleh menjadi titik perubahan kepada karier Rahadi.
3) Sardor Kulmatov
Kulmatov ketika menjaringkan gol kedua ketika menang 2-0 ke atas Bali United pada Rabu. — Facebook/TFC
Bek tengah dari Uzbekistan, Sardor Kumaltov tiba ke bumi Terengganu dengan membawa resume yang kukuh apabila mempunyai pengalaman beraksi di Piala Konfederasi Asia (AFC) bersama Sogdiana pada saingan 2021/22.
Kulmatov bagaimanapun tidak dapat menyerlahkan kepakarannya dalam menjaga bahagian belakang TFC apabila pemain berusia 29 tahun itu hanya tampil dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan Piala AFC.
Pertahanan import itu tidak dapat memikat hati Steinbruckner untuk menjadi kesebelasan utama dan akhirnya bek tengah lokal seperti Shahrul Nizam dan Safwan Mazlan lebih menjadi pilihan untuk menjadi benteng Terengganu.
Setakat ini, tiada khabar angin perpindahan pemain bertubuh sasa itu namun ramai penyokong menjangkakan bahawa Kumaltov akan kembali ke tanah airnya dan memeriahkan saingan liga di Uzbekistan.
4) Azam Azmi Murad
Azam Azmi antara bek kanan rebutan pada jendela perpindahan kali ini. — Facebook/TFC
Bek kanan Terengganu FC (TFC), Azam Azmi Murad dikhabarkan akan meninggalkan kelab Pantai Timur berkenaan dan difahamkan akan memperkuatkan pertahanan sebuah kelab Selatan tanah air pada musim depan.
Desas-desus ke Johor Darul Takzim (JDT) semakin diyakini apabila tanda ‘to leave" atau bermaksud ‘bakal berpindah’ tertera pada profil Azam Azmi di laman perpindahan pemain Transfermarkt.
Bukan itu sahaja, nama kelab Harimau Selatan juga ditulis sebagai bakal majikan pertahanan berkenaan pada profil pemain kelahiran Pulau Pinang itu.
Pemain berusia 22 tahun itu beraksi dengan cukup cemerlang dalam dua musim kebelakangan ini dengan tahun ini beraksi dalam 21 aksi Liga Super dan sekali gus membuktikan bahawa dia adalah pilihan utama pada posisi pertahanan kanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram