PENYOKONG bola sepak tempatan pastinya tidak sabar untuk menunggu saingan Liga Malaysia bermula selepas Harimau Malaya terkandas di peringkat kumpulan Piala Asia baru-baru ini.
Pelbagai khabar angin mengenai perpindahan pemain tempatan dan import yang bakal mewarnai saingan Liga Malaysia musim depan.
Tidak lupa juga dengan drama baharu yang sedang bermain dalam suasana bola sepak kita apabila TRW Kelantan FC tidak akan bermain di Liga Super kerana tidak memperoleh lesen kebangsaan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi pasukan pertama yang mengumumkan kehadiran dua pemain import baharu walaupun Harimau Selatan menyatakan akan tidak berbelanja besar musim depan.
Manakala pasukan lain masih belum mengumumkan pengambilan pemain import baharu walaupun Januari akan menutup kalendarnya beberapa minggu lagi.
Bercakap mengenai JDT, kejayaan yang diraih oleh mereka pada musim lalu sehingga mendapat gelaran 'double treble' selepas memenangi kesemua kejohanan domestik dua musim berturut-turut harus mendapat pujian orang ramai.
Menjadi juara selama sedekad Liga Super pastinya sukar untuk dipecahkan mana-mana pasukan jika masih berada ditakuk yang lama.
Hanya dua pasukan iaitu Selangor dan Terengganu dilihat menjadi pencabar terdekat JDT untuk merebut gelaran Liga Super pada musim depan.
BACA LAGI: Ranking negara dijangka jatuh mendadak, Indonesia berpeluang pintas Harimau Malaya
Namun adakah anda tahu, sejak 2012 JDT berada dalam Liga Super, hanya satu musim Harimau Selatan dibolosi lebih 30 jaringan.
Iaitu pada musim 2012 yang mana JDT meraih tempat ke-9 dalam Liga Super dengan merekodkan 11 kekalahan, lima seri dan 10 kemenangan.
Bagi saingan Piala FA dan Piala Malaysia, JDT hanya berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir.
Ketika itu, ketua jurulatih JDT ialah K Devan dan Sazali Saidon turut dibantu oleh Azmi Mohamed, Kamarudin Omar serta Mohd Efendy Kamsah.
Antara bintang yang membarisi skuad JDT ketika itu adalah Mohd Zamir Selamat, Jasazrin Jamaluddin, Mohd Syazwan Zainon serta dua pemain import Fernando Abreu Ferreira dan Arthuro Henrique Bernhardt.
Itulah kali terakhir JDT berada di kedudukan bawahan liga dan tidak lagi menoleh ke belakang selepas Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim menswastakan pasukan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram