Tak perlu ucap selamat tinggal, Pan-gon boleh guna 3 cara pikat semula fans Malaysia


  • Podium
  • Jumaat, 26 Jan 2024

Pan-gon secara terbuka mengatakan bahawa dia bersedia sekiranya dipecat selepas kempen Piala Asia yang mengecewakan. — Facebook/FAM

MALAYSIA akhirnya menutup kempen Piala Asia dengan keputusan mengikat jaguh serantau, Korea Selatan 3-3 dalam aksi terakhir Kumpulan E, namun kata-kata Kim Pan-gon yang seakan-akan merajuk dengan kecaman angkara keputusan dua perlawanan sebelum ini lebih mencuri tumpuan.

Manakan tidak, penantian 44 tahun negara untuk melayakkan diri secara merit seakan-akan disia-siakan apabila mereka hanya menduduki tangga tercorot Kumpulan E.

Kekalahan 0-4 kepada Jordan memberi satu gambaran awal mengenai kebolehan sebenar Harimau Malaya sebelum kekalahan lewat di tangan Bahrain menyimpulkan segala-galanya meskipun berjaya memujuk semula hati peminat selepas mengikat Korea Selatan pada Khamis.

Jadi, untuk memastikan pasukan kebangsaan tahu akan kekecewaan penyokong, pelbagai hantaran dibuat di media sosial dengan orang ramai menuding jari ke arah pelbagai pihak.

Ini termasuk pengendali skuad negara, Kim Pan-gon yang dikatakan menggunakan taktikal tidak sesuai serta beberapa keputusan dalam perlawanan menimbulkan keraguan.

BACA LAGI: 'Made in Belanda', fans desak FAM segera sambar pelapis Darren Lok

420103786_1078789496527619_9080724885084965059_n

Kekalahan 0-4 kepada Jordan masih sukar dilupakan sehingga hari ini. Facebook/FAM

Perkara tersebut menyebabkan sesetengah daripada penyokong mendesak supaya jurulatih dari Korea Selatan itu agar meninggalkan jawatannya dan diberikan kepada seseorang lebih berkaliber.

Bagaimanapun, pandangan berkenaan tidak menerima sokongan menyeluruh daripada seluruh pihak kerana ada daripada mereka yang mahu pengendali terbabit dikekalkan.

Pan-gon juga pasti memasang cita-cita besar untuk terus kekal bersama Harimau Malaya dan meneruskan kebangkitan dirangkanya sejak dua tahun lalu.

Oleh itu, sekiranya dia mahu menambat semula hati orang ramai, terdapat tiga langkah terbaik boleh diberikan keutamaan setelah kempen Piala Asia 2023 melabuhkan tirainya.

1. Tampil aksi terbaik di Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027

Selepas aksi menentang Korea Selatan pada Khamis, skuad kebangsaan akan berehat untuk kira-kira dua bulan sebelum memberi sepenuh tumpuan ke arah kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Mereka yang sudah mengumpul enam mata daripada dua perlawanan menentang Kyrgyzstan dan Chinese Taipei menduduki tangga teratas Kumpulan D.

Namun, ia bukanlah alasan untuk anak-anak buah Pan-gon menarik nafas lega memandangkan masih terdapat empat perlawanan perlu diharungi.

BACA LAGI: Kerana Harimau Muda dan FAM, Kim Swee sepatutnya sertai Sabah lebih awal

401442743_1045332159873353_5803421372073543995_n (1)

Harimau Malaya perlu memberi sepenuh perhatian bagi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027. Facebook/FAM

Sekiranya rentak terbaik dapat diteruskan, skuad kebangsaan bakal berpeluang melayakkan diri ke pusingan ketiga Piala Dunia dan layak ke Piala Asia 2027 secara automatik.

Pencapaian membantu negara untuk melangkah ke pertandingan terbabit buat dua edisi berturut-turut akan mengembalikan reputasi jurulatih itu sebagai antara yang terbaik dalam sejarah negara.

Aksi menentang Oman di tempat lawan pada 21 Mac mampu menjadi medan kebangkitan skuad kebangsaan yang pastinya kecewa dengan persembahan sendiri di Piala Asia 2023.

2. Panggil pemain berdasarkan prestasi semasa

Salah satu perkara yang menimbulkan keraguan dalam kalangan orang ramai sejak awal kempen Piala Asia ialah senarai 26 pemain yang dipanggil jurulatih berusia 52 tahun itu.

Natxo Insa dan Mohamadou Sumareh yang kurang beraksi bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) serta Khuzaimi Piee dengan Selangor FC merupakan antara nama dikatakan tidak wajar diberikan peluang dalam kejohanan berkenaan.

Keputusan sebegini sudah sedikit sebanyak membuatkan orang ramai kurang yakin dengan percaturannya memandangkan skuad terbaik perlu dibawa untuk kejohanan sehebat Piala Asia.

420190427_1081729709566931_4562268484064941769_n

Pan-gon perlu berani melakukan perubahan terhadap pasukannya selepas ini. Facebook/FAM

Perkara berkenaan pasti perlu menjadi pengajaran buatnya selepas ini setiap kali memanggil pemain untuk aksi persahabatan atau kompetitif di peringkat antarabangsa.

Selain itu, peluang juga harus diberikan kepada mereka yang beraksi dengan cemerlang bersama kelab masing-masing meskipun dirasakan kurang sesuai dengan gaya permainannya.

Hal tersebut akan menyebabkan orang ramai melihat Pan-gon sebagai seorang jurulatih yang boleh memberi ruang buat sesiapa sahaja yang mempamerkan aksi konsisten.

3. Kurangkan pengharapan buat pemain naturalisasi

Selain Pan-gon, pihak yang menjadi sasaran orang ramai atas persembahan mengecewakan skuad kebangsaan ialah beberapa pemain naturalisasi, seperti Mohamadou Sumareh dan Romel Morales.

Mereka yang dikatakan tidak memberikan persembahan terbaik sepanjang diberikan peluang dianggap tidak berminat untuk berbuat demikian kerana enggan beraksi demi lencana di dada.

Jadi, tidak hairanlah apabila pelbagai cemuhan dan kritikan diberikan kepada mereka sehingga ada yang mengharapkan supaya mereka terus disisihkan daripada Harimau Malaya.

420134428_1080755959664306_2898441477827608267_n

Keputusan meletakkan Romel menimbulkan pelbagai persoalan. Facebook/FAM

Sekiranya Pan-gon mahu menambat semula hati penyokong, cara terbaik boleh dilakukannya adalah dengan mengurangkan harapan buat pemain dalam kategori tersebut.

Solusi terbaik yang boleh diambil adalah memberi peluang buat anak tempatan yang dirasakan mampu memberi sumbangan walaupun tidak sehebat mereka.

Bagaimanapun, Pan-gon masih boleh memanggil beberapa pemain naturalisasi, seperti Paulo Josue dan Endrick dos Santos kerana masing-masing cukup disenangi penyokong Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram