Kalau kalah lawan Korea sekalipun, kenapa tak boleh sokong kami? — KPG


  • Podium
  • Khamis, 25 Jan 2024

Pan-gon berharap dapat mencipa kejutan menentang pasukan negara kelahirannya dalam aksi terakhir Kumpulan E pada Khamis. — Facebook/FAM

PENGENDALI skuad kebangsaan, Kim Pan-gon menyeru penyokong Malaysia supaya percaya terhadap kemampuan Harimau Malaya menghadapi pasukan separuh akhir Piala Dunia 2002, Korea Selatan dalam aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia di Stadium Al Janoub, Doha, Qatar pada Khamis.

Jurang antara pasukan ranking ke-23 tersebut dan Malaysia, di tangga 130 dunia boleh diibaratkan seperti langit dan bumi tetapi Pan-gon masih menaruh harapan untuk anak buahnya melakukan keajaiban atau sekurang-kurangnya memecahkan kebuntuan gol.

Malaysia masih belum menemui jaringan selepas tewas dua perlawanan pertama peringkat kumpulan mereka. Malaysia dibelasah 0-4 oleh Jordan, dan kekalahan tipis 0-1 kepada Bahrain pada hujung minggu lalu.

Malaysia tidak menjaringkan gol menentang Korea Selatan dalam perlawanan senior sejak pasukan dibarisi penyerang legenda, Datuk Dollah Salleh yang membantu negara mendapat kemenangan dalam kelayakan Piala Dunia di Stadium Merdeka pada 1985.

BACA LAGI: Pan-gon akur jika dipecat, tapi ucapan selamat tinggal tidak direstui

kpg

Pan-gon berharap anak buahnya dapat mencetak jaringan pertama dalam kempen Piala Asia 2023. — Facebook/FAM

BACA LAGI: [VIDEO] 'Tiada yang mustahil', fans kongsi video Harimau Malaya pernah benam ego Korea Selatan

“Bagi saya, tidak kira kita menjaringkan satu atau dua gol jika kita mempunyai persiapan yang baik. Mengapa penyokong tidak boleh menghormati kami jika kami tidak menang?

“Palestin dan Tajikistan telah maju, jadi pemain kita perlu belajar sesuatu daripada mereka. Jangan fikir ini adalah perlawanan terakhir tahun ini untuk kami kerana kami masih mempunyai kelayakan Piala Dunia.

"Yang penting ialah persediaan untuk menghadapi cabaran ini," kata jurulatih kelahiran Korea Selatan itu dalam sidang media menjelang perlawanan menentang skuad kendalian Jurgen Klinsmann.

Pan-gon mungkin berdepan pasukan negara kelahirannya tetapi dia berhasrat untuk menjadikan perlawanan itu sebagai penanda aras dan motivasi untuk bertemu pasukan bertaraf dunia pada masa hadapan.

“Korea Selatan adalah pasukan bertaraf dunia tetapi kami juga mahu menunjukkan sesuatu kepada rakyat Malaysia.

“Adalah penting bagi kami untuk membina keyakinan dan belajar daripada perlawanan ini supaya kami tidak takut untuk bertemu pasukan besar lain pada masa hadapan," jelasnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram