Pan-gon akur jika dipecat, tapi ucapan selamat tinggal tidak direstui


  • Podium
  • Khamis, 25 Jan 2024

Terdapat desakan untuk jurulatih tersebut mengundur selepas satu kempen mengecewakan dalam Piala Asia 2023. — Facebook/FAM

TEKANAN besar sedang dihadapi pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon ketika ini selepas dua kekalahan berturut-turut dalam aksi Kumpulan E Piala Asia.

Kegagalan untuk meraih sebarang mata itu menyaksikan skuad kebangsaan tidak akan berpeluang beraksi di peringkat 16 pasukan seperti mana yang diharapkan penyokong.

Jadi, keadaan itu menyaksikan terdapat desakan di media sosial yang mengarahkan supaya jurulatih kelahiran Korea Selatan itu digantikan selepas kempen Piala Asia.

Meskipun cadangan berkenaan kelihatan sedikit drastik, rentak permainan yang ditonjolkan skuad kebangsaan ketika berdepan Bahrain dan Jordan menjadi faktor atas permintaan mengejut itu.

Harapan itu juga seakan-akan sudah didengari Pan-gon apabila dalam satu sesi sidang media sebelum bertemu Korea Selatan, dia mengakui bahawa dirinya terbuka jika dipecat.

BACA LAGI: TMJ yakinkan saya untuk beraksi buat Harimau Malaya — Dion Cools

WhatsApp-Image-2022-06-14-at-11.22.54-PM-1000x666

Pan-gon mempunyai hubungan cukup baik dengan penyokong Harimau Malaya.

Berdasarkan satu laporan Berita Harian, pengendali berusia 54 tahun itu sedia menerima nasib tersebut memandangkan ia adalah satu perkara normal dalam bidang kejurulatihan.

Namun, luahan Pan-gon dilihat sukar diterima rata-rata penyokong Harimau Malaya yang tidak mahu kehilangan khidmatnya pada masa terdekat.

"Rasa beri sahaja peluang pada Pan-gon. Salah satu sebabnya adalah kerana dia berjaya bawa pasukan kita ke tahap ini. Dah berapa puluh tahun kita tak layak sebarang kejohanan terbesar. Harap selepas ni Pan-gon memilih pemain yang terbaik untuk jangka masa panjang," kata Shahar Guardiola Hadiri.

"Sejak Pan-gon ni ada, barulah aku tengok Harimau Malaya punya perlawanan secara langsung. Jadi, kekalkan. Bulan 3 lawan Oman Kelayakan Piala Dunia," kata Haji KaNa.

BACA LAGI: 'Kenyataan TMJ 'bunuh' bola sepak cabaran buat kelab Liga M, Harimau Malaya bangkit'

421655936_1082073072865928_2062626552007316120_n (1)

Ramai berpendapat khidmat Pan-gon perlu dikekalkan sehingga penghujung kontraknya. Facebook/FAM

"Pan-gon dah berjaya bawa masuk Malaysia ke Piala Asia secara merit dah cukup bagus. Apa lagi? Bagi peluang kepadanya untuk lakukan yang lebih baik," kata Akram Yusof.

Jurulatih tersebut sebelum ini dilantik pada 21 Januari 2022 bagi menggantikan Tan Cheng Hoe selepas pengalamannya cukup menarik perhatian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pelantikannya boleh dikatakan sebagai satu langkah ke hadapan buat arena bola sepak tanah air kerana dia membantu menaikkan kedudukan negara dalam ranking FIFA.

Dia juga difahamkan mempunyai kontrak sehingga penghujung 2024 selepas menandatangani lanjutan untuk tempoh setahun pada penghujung tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram