PASUKAN negara masih berpeluang mengutip mata dalam saingan Piala Asia sekiranya mampu meraih keputusan positif pada aksi terakhir menentang Korea Selatan pada Khamis.
Mereka yang sebelum ini tewas kedua-dua perlawanan kepada Jordan dan Bahrain tidak lagi berpeluang meloloskan diri ke peringkat 16 pasukan terbaik.
Bagaimanapun, kekecewaan tersebut masih boleh diubati dalam pertembungan dengan skuad kendalian Jurgen Klinsmann itu yang kini menduduki tangga kedua Kumpulan E dengan kutipan empat mata.
Namun, harapan itu tidaklah begitu mudah kerana Korea Selatan kini mempunyai skuad cukup lengkap baik dari segi serangan mahupun pertahanan.
Kebangkitan minit akhir ketika berdepan Jordan tempoh hari juga membuktikan bahawa pasukan itu tidak mudah mengalah dalam misi mereka melayakkan diri ke peringkat seterusnya.
BACA LAGI: Liridon cabar fans Harimau Malaya ‘acah-acah’ Mourinho, Guardiola

Pasukan kebangsaan sedang menjalani sesi latihan terakhir sebelum berdepan Korea Selatan. — Facebook/FAM
BACA LAGI: [VIDEO] ‘Dia pun manusia biasa’, Safawi Rasid optimis Harimau Malaya mampu sekat bintang EPL
Selain itu, lambakan bintang bertaraf dunia, seperti kapten, Son Heung-min serta penyerang, Hwang Hee-chan pasti akan menyukarkan hasrat Harimau Malaya melakar mata pertama di Piala Asia.
Tetapi, bagi pertahanan skuad kebangsaan, Dion Cools, tiada perkara yang perlu dikhuatiri kerana kesemua pasukan mempunyai peluang masing-masing.
"Kita tidak perlu takut, ia adalah permainan berpasukan dengan 11 pemain. Jadi, ia tidak tertumpu kepada saya cuba menyekat Son atau sesiapa sahaja. Ia adalah tugasan bersama untuk menyukarkan mereka," katanya seperti dikongsikan wartawan, Zulhelmi Zainal Azam di laman X peribadinya.
Setakat ini, bek tengah berusia 27 tahun terbabit merupakan salah seorang pemain terbaik buat Harimau Malaya sepanjang kejohanan dengan kehadirannya cukup penting dalam dua aksi awal.
Meskipun pasukan kebangsaan kini sudah dibolosi sebanyak lima kali, ketiadaan Dion Cools pasti akan memburukkan lagi keadaan buat pengendali, Kim Pan-gon. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
