KENYATAAN Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris yang menyatakan mahu 'membunuh' bola sepak negara pada Selasa menerima respons cukup menghangatkan daripada peminat sukan tersebut.
Berdasarkan satu komen menerusi Instagram peribadinya, pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) berkenaan berkata demikian selepas dirasakan sudah 11 tahun merosakkannya dalam pelbagai aspek.
Kata-katanya itu menyaksikan orang ramai memberi respons masing-masing mengenainya dengan ada daripada mereka berasakan terdapat mesej tersirat yang cuba disampaikannya.
Namun, bagi pemerhati bola sepak negara, Mohd Sadek Mustaffa, kenyataan tersebut diberikan sebagai satu bentuk cabaran buat kelab Liga Super dan Harimau Malaya untuk terus membangun.
BACA LAGI: TMJ yakinkan saya untuk beraksi buat Harimau Malaya — Dion Cools
Sadek tidak mahu orang ramai mengambil kata-kata TMJ secara emosi.
"Saya rasa ia adalah seruan untuk pasukan sedia ada supaya membuat persiapan secara profesional dan menyeru kepada penaja yang ada untuk beri sokongan buat kelab berkemampuan memberi saingan buat JDT.
"Jika kita bercakap secara beremosi, ia akan memanjangkan lagi perbalahan. Jadi, itu saya boleh cakap, ia memberi cabaran untuk pasukan lain dalam membuat persiapan," katanya kepada Majoriti.
Kenyataan sedemikian juga pernah dikeluarkan TMJ sebelum ini ketika skuad Harimau Selatan ditabalkan juara Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut dengan dia mengatakan pasukan lain sukar mengulangi kejayaan mereka itu.
Kata-kata itu dibuat sambil menegaskan bahawa JDT akan terus membawa masuk pemain tempatan berkualiti dan hanya melepaskan mereka untuk mewakili skuad kebangsaan sekiranya perlawanan itu diadakan dalam kalendar FIFA.
BACA LAGI: Belum masa dapatkan Nooa Laine, tapi saya akan terus bunuh bola sepak negara — TMJ
TMJ (atas) meraih pelbagai kejayaan sepanjang beberapa tahun bergelar pemilik JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Dalam masa sama, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam itu berkata, cabaran berkenaan turut dibuat ke arah skuad Harimau Malaya.
"Jika tiada respons daripada kelab-kelab lain, kita sendiri sebenarnya membunuh industri bola sepak negara secara keseluruhan. Bukan setakat membunuh kelab, ia juga akan memberi kesan kepada aspek kejurulatihan, pengadilan dan lain-lain lagi.
"Kalau TMJ sebelum ini merungut 10 tahun (jadi juara), dua tahun tanpa kekalahan, tetapi penonton tidak hadir, ini kerana mereka sudah menjangkakannya kerana mereka sudah tidak teruja mengenainya," katanya lagi.
Setakat ini, JDT merupakan pasukan terawal melakukan aktiviti jual beli dalam Liga Super setelah mengumumkan kehadiran tiga pemain baharu iaitu Jalil Elias, Chico Geraldes serta Murilo Henrique.
Mereka dijangka membawa lebih ramai pemain baharu untuk saingan akan datang dalam merealisasikan objektif beraksi lebih baik di pentas Asia musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram