DUA kekalahan berturut-turut skuad kebangsaan dalam peringkat kumpulan Piala Asia menyebabkan penyokong tampil meluahkan rasa kecewa mereka di laman media sosial.
Selain mempertikaikan gaya permainan dan taktikal Kim Pan-gon, ada dalam kalangan peminat Harimau Malaya mempersoalkan kesungguhan pemain, terutamanya yang berstatus naturalisasi dan warisan.
Penyerang baharu negara, Romel Morales dan Natxo Insa merupakan antara sasaran orang ramai selepas persembahan masing-masing boleh dikatakan kurang memberangsangkan.
Tampil mempertahankan mereka daripada terus dipersalahkan, pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi sebelum ini mempersoalkan sikap sesetengah peminat.
Dalam satu mesej pendek yang diberikan, bekas tonggak Kedah FA tersebut mengatakan dia hanya melihat kebencian tanpa sebarang belas ihsan terhadap Harimau Malaya.
BACA LAGI: [VIDEO] Tan Cheng Hoe seperti bapa, Liridon Krasniqi masih belum buat keputusan soal masa depan
Tangkap layar daripada hantaran Liridon baru-baru ini.
Hantaran terbabit jelas mencetuskan perbalahan antaranya dengan penyokong yang turut mempertikaikan persembahannya setiap kali menyarung jersi kebangsaan sebelum ini.
Jadi, untuk terus menghangatkan keadaan, Liridon sekali lagi menimbulkan kontroversi apabila mahu mengadakan sesi perbincangan mengenai situasi semasa bola sepak tanah air.
"Selamat pagi kepada kepada semua 'Pep Guardiola' dan 'Jose Mourinho', sudahkan anda mempersiapkan soalan untuk esok? Patutkah kita mengadakan sesi podcast untuk berbicara tentangnya?" katanya menerusi satu hantaran di InstaStory.
Liridon sebelum ini menyindir sebahagian penyokong dengan mengatakan mereka tidak ubah seperti seorang jurulatih hebat kerana sering mempersoalkan gaya permainan serta taktikal pasukan.
Sindiran itu turut menyaksikannya menjadi sasaran orang ramai yang mendesaknya supaya mengurangkan kata-kata di media sosial kerana ia hanya akan mencalarkan reputasinya.
Pemain kelahiran Kosovo tersebut mencatatkan enam penampilan bersama skuad kebangsaan dengan hanya satu gol berjaya dijaringkannya, iaitu ketika berdepan Singapura pada 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram