[VIDEO] ‘Dia pun manusia biasa’, Safawi Rasid optimis Harimau Malaya mampu sekat bintang EPL


  • Podium
  • Rabu, 24 Jan 2024

Korea Selatan kini menghuni tangga ke-2 Kumpulan E dan berkongsi enam mata dengan Jordan. — Agensi

"DIA juga manusia biasa," itu kata-kata penyerang negara Safawi Rasid mengenai Son Heung-min menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Asia bertemu Korea Selatan pada Khamis.

Safawi yang ditemui meluahkan semangat pasukan Harimau Malaya bertemu Korea berada di tahap terbaik dan sedia untuk menyekat pasukan itu daripada mendapatkan kemenangan, lapor Stadium Astro.

"Semua tahu, Son adalah pemain yang baik...saya tahu kemampuan dia, dalam situasi satu lawan satu mungkin dia boleh (lepas) tetapi kalau dua lawan satu atau tiga lawan satu mungkin (tak boleh lepas).

"Dia (Son) pun manusia biasa. Saya rasa kelebihan pada kami sebab kami bertahan dan dia akan menyerang...saya percaya dengan rakan sepasukan dan jurulatih (Kim Pan-gon), jadi kita tengok perlawanan esok (Khamis).

"Kami akan lebihkan tekanan untuk mereka buat kesilapan dan dari situ kami akan ambil kesempatan untuk melakukan serangan,” katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Selepas produk akademi Man United, kini 'protege' Kevin De Bruyne pula ada hubungan dengan Malaysia

BACA LAGI: [VIDEO] Sebelum De Paula, 3 pemain import 'lejen' nyaris sarung jersi Harimau Malaya

Dalam pertembungan di Stadium Al-Janoub pada Khamis, Korea hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik sementara peluang Malaysia untuk mara sudah tertutup susulan dua kekalahan dicatat sebelum ini.

Ini merupakan pertembungan kedua Malaysia dan Korea Selatan di peringkat kumpulan Piala Asia selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada edisi 1980 di Kuwait dengan bekas penyerang, Zulkifli Hamzah menjaringkan gol penyamaan.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan kompetitif adalah pada pusingan kelayakan Piala Dunia menyaksikan Malaysia tumpas 0-3 pada 1989. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram