Sumbangan besar di JDT, Leonardo Velazquez bakal senasib Forestieri?


  • Podium
  • Khamis, 25 Jan 2024

Leandro telah melakukan 101 penampilan, 32 jaringan gol, 28 'assist' bersama JDT.

JOHOR DARUL TA’ZIM (JDT) sudah melakukan persediaan awal apabila telah mengumumkan tiga pemain import baharu bagi memperkuatkan Harimau Selatan menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) yang akan bermula pada Mei nanti.

Setakat ini, antara pemain-pemain asing baharu yang diumumkan oleh JDT ialah Jalil Elias (Syria), Francisco Geraldes (Portugal) dan Murilo Henrique (Brazil) yang akan membantu skuad Hector Bidalgio memberikan cabaran dalam Liga Juara-Juara Elit AFC 2024/25 (ACLE).

BACA LAGI: [VIDEO] Jika mahu jimat duit, Sabah wajar buru 3 rakan Saddil Ramdani di Piala Asia

MAIN PIX - 1

Antara pemain-pemain import baharu yang sudah diumumkan oleh JDT.

Sebelum ini, pihak pengurusan JDT mengumumkan akan membuat rombakan skala besar bagi mengimbangi semula kantung kewangan pasukan selepas jadual musim baharu Liga M akan lebih panjang dan bukan seperti sedia ada.

Kesan daripada pengumuman itu, bekas ketua jurulatih, Esteban Solari serta beberapa barisan kejurulatihannya tidak disambungkan khidmat mereka meskipun cemerlang membawa JDT menjuarai Liga Super buat kali ke-10 sekali gus mencipta kejuaraan sedekad.

Selain itu, beberapa pemain import seperti Fernando Forestieri, Leandro Velazquez dan tempatan sudah pun dilepaskan oleh JDT dengan ada yang dikhabarkan akan dipinjamkan ke pasukan lain.

Namun baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT, Alistair Edwards mengumumkan Forestieri kekal bersama juara 10 kali berturut-turut JDT bagi saingan musim depan.

Dua minggu selepas diumumkan bakal meninggalkan Harimau Selatan, JDT membuat pusingan U apabila mengekalkan ayam tambatan berusia 34 tahun itu.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Different mentality', pemain Selangor sedia gegar Asia turun berlatih walaupun 'off season'

Dengan pengumuman daripada JDT itu, ramai pihak mula menjangkakan Leandro akan kembali ke Harimau Selatan dengan status yang berbeza.

Menerusi satu hantaran laman Facebook Empayar Darul Takzim - EDT, memuat naik status bahawa Leandro akan sertai JDT sebagai pemain tempatan.

Playmaker Leandro Velazquez dikhabarkan akan kembali menyertai JDT sebagai pemain tempatan (naturalisasi).

“JDT akan menyediakan jentera tengah terbaik untuk menghadapi saingan ACL Elite tahun ini,” katanya.

Jika benar perkhabaran mengenai status baharu Leandro itu, ia akan memberikan kelebihan buat JDT serta skuad kebangsaan kerana mempunyai pemain yang berkualiti tinggi di bahagian tengah pasukan.

Namun sehingga kini masih belum ada pengumuman rasmi daripada mana-mana pihak mengenai perkhabaran status Leandro itu.

Bersama JDT, Leandro telah melakukan 101 penampilan, 32 jaringan gol, 28 'assist' serta berjaya membantu Harimau Selatan menjuarai kesemua trofi peringkat domestik serta Piala AFC pada 2015. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram