Tahu sekat Heung-min, Faisal 'tak lepas', Safawi dan Akhyar mungkin resipi kejutan KPG


  • Podium
  • Rabu, 24 Jan 2024

Sebahagian sesi latihan skuad kebangsaaan menjelang perlawanan berdepan Korea Selatan. —Facebook/FAM

MESKIPUN peluang skuad Harimau Malaya ke peringkat kalah mati saingan Piala Asia 2023 di Qatar sudah 'terkubur' namun skuad kebangsaan masih berpeluang untuk mendapatkan jaringan sagu hati dalam aksi terakhir nanti.

Dalam dua perlawanan sebelum ini berdepan Jordan dan Bahrain, skuad kebangsaan dilihat gagal mencipta sebarang jaringan.

Namun, skuad kendalian Kim Pan-gon masih mempunyai peluang agar tidak pulang ke tanah air dengan tangan kosong ketika berdepan Korea Selatan nanti.

Dalam pada itu, Pan-gon yang juga pengendali kelahiran Korea Selatan itu perlu berani membuat rombakan dengan mengeluarkan beberapa pemain yang kurang beraksi dengan cemerlang sepanjang dua aksi sebelum ini.

Berikut Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang dijangka mungkin diketepikan dalam skuad Pan-gon menjelang aksi berdepan Korea Selatan.

BACA LAGI: 'Tewas tapi kita perlu berbangga dengan pencapaian Harimau Malaya sampai tahap ini'

WhatsApp Image 2024-01-23 at 21.54.41

Tak berjaya mencipta sebarang jaringan, Mickey (kiri) dijangka digantikan dengan Akhyar Rashid. — Facebook/FAM

1. Faisal Halim

Diberi peluang bermain dua perlawanan dalam saingan piala Asia 2023, Faisal Halim dilihat menampilkan aksi kurang cemerlang sekali gus gagal mencipta sebarang jaringan.

Melihat aksi kurang cemerlang tersebut, posisi pemain sayap Selangor FC itu dijangka bakal terancam untuk menjadi kesebelasan utama menentang Korea Selatan nanti.

Berikutan perkara itu, Akhyar Rashid antara pemain yang sesuai diberi peluang untuk menggantikan posisi Faisal atau mesra dengan sapaan Mickey itu dalam kesebelasan utama.

Hal ini kerana, pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu dilihat mempunyai potensi tersendiri apabila bermain di pentas antarabangsa.

Mickey pula siapa tahu mungkin beraksi sebagai pemain simpanan seperti mana yang dilalui oleh Akhyar dalam dua perlawanan terdahulu.

Untuk rekod, Akhyar antara pemain yang sering menjadi wira buat skuad kebangsaan dengan mencetak beberapa jaringan menyelamatkan maruah Harimau Malaya.

WhatsApp Image 2024-01-23 at 21.54.07

Safawi (kiri) juga dijangka berpeluang mencetak gol pertama buat Harimau Malaya berikutan pengalamannya sepanjang bergelar pemain kebangsaan. — Facebook/FAM

2. Paulo Josue

Penyerang Kuala Lumpur (KL) City FC, Paulo Josue antara tonggak yang turut diberi kepercayaan bermain dalam kedua-dua aksi Harimau Malaya di Piala Asia.

Namun, pemain naturalisasi itu masih belum menghasilkan gol buat skuad kebangsaan dalam saingan tersebut.

Pasukan kebangsaan kelihatan kurang tajam di bahagian serangan dah buktinya mereka belum berjaya menyumbat sebarang gol di Piala Asia kali ini.

Pemain berpengalaman seperti Safawi Rasid dilihat sangat sesuai ketika ini untuk diturunkan kerana ketajaman pemain tempatan itu dijangka berpotensi memberikan gol pertama untuk Harimau Malaya.

Bahkan Safawi sendiri percaya dia mampu 'menggari' bintang Korea Selatan, Son Heung-min kerana kelebihan Harimau Malaya bermain secara bertahan.

Pernah bertarung tenaga dengan bintang Tottenham Hotspur itu pada temasya Sukan Asia 2018, Safawi berkata, pergerakan Heung-min boleh dikekang jika ada dua atau tiga pemain kebangsaan menyekat kemaraannya ke gawang gol.

WhatsApp Image 2024-01-23 at 21.54.41 (1)

Dominic Tan (kanan) dilihat sesuai menggantikan Matt Davies kerana beraksi cemerlang ketika berdepan Bahrain. — Facebook/FAM

BACA LAGI: Antara pemain konsisten, tonggak Sabah FC perlu kekal bersama Harimau Malaya

3. Matthew Davies

Di posisi pertahanan pula, Matthew Davies dilihat boleh digantikan dengan bek kental lain dalam baki saingan Piala Asia tersebut kerana dia sebelum ini kurang cemerlang dalam mematahkan serangan lawan sekali gus gagal membantu bahagian serangan.

Dalam pada itu, Dominic Tan antara pemain yang boleh diberi peluang untuk bermain menggantikan posisi Matt Davies.

Hal ini kerana, Dominic berjaya bangkit sehingga dianggap sebagai pemain terbaik ketika aksi berdepan Bahrain dengan meraih 7.2 dalam statistik bola sepak antarabangsa, Sofascore.

Pertahanan Sabah FC itu berjaya menjaringkan tiga gol dalam saingan Liga Super musim 2023 bersama skuad The Rhinos dan kelebihan ini sangat sesuai untuk Dominic turun menentang Korea Selatan dalam misi membantu mencari jaringan pertama Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram