TEKANAN besar pastinya sedang dihadapi pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon ketika ini selepas dua kekalahan berturut-turut dalam aksi Kumpulan E Piala Asia.
Ia berikutan selepas kegagalan untuk meraih sebarang mata itu menyaksikan skuad kebangsaan tidak akan berpeluang beraksi di peringkat 16 pasukan seperti mana yang diharapkan penyokong.
Susulan kekalahan tersebut, pastinya terdapat suara-suara sumbang yang menginginkan agar pengendali kelahiran Korea Selatan itu dipecat.
Tetapi, bagi penganalisis bola sepak, Datuk Dr Pekan Ramli, ia bukanlah masa yang sesuai untuk mengkritik pengendali Harimau Malaya itu.
"Bukanlah waktu yang sesuai untuk mengkritik kegagalan Pan-gon dengan mengatakan bahawa dia perlu letak jawatan.
"Pada pandangan peribadi saya, tidak sepatutnya kita mendesak untuk Pan-gon letak jawatan," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Pan-gon akur jika dipecat, tapi ucapan selamat tinggal tidak direstui
Pekan berasakan pemecatan Pan-gon ketika ini sepatutnya tidak menjadi isu utama.
Melihat kepada komen-komen negatif tersebut, Pekan berkata, ia merupakan perkara biasa sekiranya skuad kebangsaan gagal meraih kemenangan dalam apa jua perlawanan.
"Peminat-peminat bola sepak memang macam itu, itulah hakikat bila pasukan tak menang atau kalah, memang kita akan dengar perkara seperti itu," ujarnya.
Meskipun begitu, Pekan berpendapat bahawa sebagai seorang jurulatih, perlu menerima kritikan tersebut dengan terbuka namun perlu lebih realistik mengenai tahap Harimau Malaya.
"Sebagai jurulatih memang kena terimalah, tetapi kita perlu lebih realistik kerana saya rasa pada masa ini, ia bukanlah perkara yang elok kita timbulkan untuk Pan-gon letak jawatan.
BACA LAGI: Kalau kalah lawan Korea sekalipun, kenapa tak boleh sokong kami? — KPG
"Tetapi kita perlu lihat juga, adakah Piala Asia satu kejohanan yang perlu kita menang dan terus jadi champion selepas 43 tahun penantian.
"Kita tahu bila saja Malaysia layak ke Piala Asia, kontrak Pan-gon telah disambung," jelasnya lagi.
Tambahnya lagi, kejohanan Piala Asia 2023 bukanlah pengakhiran bagi Harimau Malaya untuk meneruskan perjuangan dalam peringkat antarabangsa.
"Piala Asia bukanlah pengakhiran Harimau Malaya sebab Mac nanti ada lagi perlawanan kelayakan Piala Dunia.
"Kita tidak boleh hancurkan team ni, elok kita bagi ruang kepada Pan-gon untuk meneruskan tugasannya untuk memastikan Malaysia layak lagi ke Piala Asia.
"Siapa tahu kalau kita bernasib baik kita mungkin berpeluang layak ke Piala Dunia," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram