[VIDEO] Gerakan tiki-taka tak menjadi, akhirnya disudahkan sepakan ke laut


  • Podium
  • Rabu, 24 Jan 2024

Pertembungan antara kedua-dua pasukan menyaksikan Nigeria menumpaskan Guinea-Bissau dengan keputusan tipis 1-0. — Agensi

AKSI cukup menarik dipamerkan dalam saingan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) ketika ini dengan beberapa pasukan sudah mengesahkan slot ke peringkat seterusnya.

Salah satu pasukan yang berjaya melepasi pusingan kumpulan ialah pemenang tiga kali kejohanan, Nigeria yang menduduki tangga kedua Kumpulan A selepas tiga perlawanan.

Bagaimanapun, usaha mereka itu tidaklah begitu mudah apabila dalam perlawanan terakhir, skuad Super Eagles dijadualkan bertemu Guinea-Bissau yang berhasrat membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.

Namun, usaha Guinea-Bissau itu berdepan liku-liku sukar setelah bek tengah mereka, Opa Sangante menjaringkan gol sendiri pada minit ke-36 selepas tidak sengaja menampan hantaran pihak lawan.

BACA LAGI: [VIDEO] Skuad Ghana dipaksa jalan kaki oleh media sendiri lepas 'bungkus' awal AFCON

BACA LAGI: [VIDEO] Wakil tunggal Liga Super di AFCON cipta sejarah bantu Namibia tumbangkan Tunisia

Jadi, dalam misi mengikat kedudukan, skuad kendalian Baciro Cande itu terus memberi asakan pada babak kedua meskipun Nigeria tidak putus asa mencari gol kelebihan.

Peluang terbaik dimiliki mereka adalah sebelum wisel separuh masa ditiupkan apabila pemain Guinea-Bissau mencetuskan gerakan cukup kemas dengan hantaran pendek di luar kotak penalti lawan.

Bagaimanapun, usaha untuk menyempurnakan gerakan itu bertukar sia-sia selepas pemain sayap kanan mereka, Famana Quizera membuat rembatan yang jauh tersasar daripada sasaran.

Situasi itu kemudiannya menyebabkan orang ramai tidak kering gusi dengan kualiti yang dimilikinya memandangkan bola itu keluar ke garisan tepi padang.

Meskipun terdapat beberapa lagi usaha daripada Guinea-Bissau, keampuhan benteng pertahanan Nigeria menyaksikan keputusan akhir kekal 1-0 buat skuad Super Eagles. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram